Tanah terbakar undang resah penduduk

Tanah terbakar undang resah penduduk
Mohd Nasir ketika meninjau tapak pelupusan sampah di Kampung Bukit Dagang.

Abdullah Hassan

Pembakaran di kawasan tapak pelupusan sampah di Kampung Bukit Dagang Ulu Tiram, Johor, telah dilaporkan mengganggu penduduk di sekitar kampung berkenaan.

Menurut sumber yang diperolehi, pembakaran berkenaan sengaja dilakukan oleh pengusaha tapak berkenaan bagi menghapuskan sisa pepejal sampah yang dikumpulkan.

Menurut penduduk kampung Abdullah Hassan, pembakaran berkenaan sudah berlangsung hampir dua minggu dan ia seperti tidak ada penyelesaian.

“Apinya marak walau dalam hujan sekali pun. Asap dari pembakaran telah mengganggu penduduk dan dipercayai terdapat bahan bakar di dalam tanah kerana apinya tidak boleh dipadamkan.

“Penduduk kampung terpaksa menghidu bau asap dan ia telah mengancam tahap kesihatan penduduk di kampung ini.

“Saya turut dimaklumkan kos untuk memadamkan api berkenaan menelan kos yang banyak dan ini adalah satu situasi yang teruk serta kronik,” ujarnya ketika ditemui.

Sebelum ini kawasan berkenaan telah dimaklumkan terdapat pembuangan bahan terlarang dari sisa seperti arsenik yang menjadi isu datangnya dari negara jiran Singapura.

Mohd Nasir Mohd Yunus

Ahli Majlis kawasan berkenaan, Mohd Nasir Mohd Yunus pula berkata, perkara itu telah dibawa ke peringkat mesyuarat Ahli Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) namun masih tidak ada sebarang tindakan dari pihak tersebut.

Beliau bersependapat dengan Abdullah dengan menyatakan perkara tersebut seperti tidak ada penyelesaian yang konkrit dan yang menjadi mangsa adalah penduduk kampung berkenaan.

“Saya berharap ada pihak berwajib yang mampu untuk menyelesaikan permasalahan ini dan tindakan perlu diadakan kepada pihak pengusaha tapak berkenaan sebagai peringatan kepada mereka.

“Perkara ini tidak akan dibiarkan oleh pihak saya dan saya akan terus memperjuangkan perkara ini agar ia diselesaikan dengan segera.

“Saya mendesak agar pihak kerajaan negeri untuk mengambil berat tentang permasalahan ini. Saya akan membawa perkara ini ke peringkat seterusnya dan mungkin akan membuat laporan polis,” katanya.

Kampung Bukit Dagang Ulu Tiram, Johor ini terdapat seramai 60 buah rumah dan kampung di sekitar terdapat dalam 200 buah rumah turut merasai pencemaran yang berlaku.

COMMENTS