Malaysia Dateline

Tanah Wakaf Abdul Cauder: 11 penduduk didakwa halang penjawat awam

Seramai 11 penduduk Tanah Wakaf Abdul Cauder yang cuba menghalang operasi meroboh kediaman di tanah berkenaan awal bulan ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Kesemua mereka yang terdiri daripada tujuh wanita dan empat lelaki didakwa secara berasingan di hadapan Majistret M. Kalaiarasi.

Tujuh wanita berkenaan ialah  Siti Dini Kamilia Haron, 19; Nur Amani Muhamad Amin, 19; Siti Nurliana Haron, 30; Rozita Medar, 47; Nuraila Medar, 59; Roshidah Medar, 43; dan Siti Musliha Haron, 25 sementara empat tertuduh lelaki ialah Syazwan Sulaiman, 30; Mohd Fazli Rosli, 51; Muhammad Ihsan Rifqie Mohd Zainudin, 25; dan Ahmad Khan Hussin, 51.

Kesemua mereka didakwa menghalang petugas-petugas polis dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) daripada meroboh rumah di tanah wakaf itu di Jalan Mengkuang, Butterworth, antara 12 dan 1.30 tengah hari 7 Mac lepas.

Mereka didakwa berbuat demikian menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamas Syeqal Che Murat manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Ahmad Faris Khairudin dan Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua anggota Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) meminta dibicarakan atas pertuduhan mengikut seksyen sama.

Exco Armada Nasional Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, 33 dan Timbalan Ketua Armada Pulau Pinang Muhamad Zikri Zulkifli, 30 didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 15 Feb lalu.

Mahkamah membenarkan mereka yang diwakili peguam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin masing-masing serta menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA