Malaysia Dateline

Tanam 1,000 pokok cili tambah pendapatan Masjid Jamek Pengkalan Hulu

Pelbagai usaha boleh dilakukan demi manfaat masyarakat sekeliling. Atas kesedaran tersebut maka jawatankuasa kariah Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Perak mengambil inisiatif dengan mengeluarkan peruntukan permulaan sebanyak RM5000 bagi projek penanaman cili sebagai salah satu usaha untuk menambah pendapatan dan mempelbagaikan aktiviti masjid.

Setiausahanya, Siraj Abdullah ketika ditemui berkata, tanah yang ada disekeliling masjid telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi projek tanaman cili dengan kerjasama Jabatan Pertanian Pengkalan Hulu serta pengusaha swasta Siti Kraf Enterprise.

Siraj Abdullah

Malah katanya inisiatif yang diambil oleh jawatankuasa kariah masjid tersebut ternyata memberi pulangan yang lumayan bukan sahaja kepada tabung masjid tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan kepada anak kariah yang menyumbangkan keringat.

“Benih dan baja disediakan oleh pihak syarikat Siti Kraf Enterprise, manakala nasihat dan kaedah penanaman diberikan oleh Jabatan Pertanian.

“Cili yang dihasilkan ini boleh membesar sehingga lebih enam inci dan dapat mencecah sehingga RM18 sekilo walaupun di pasaran ianya dijual sehingga RM20 sekilo.

“PIhak masjid menyediakan kawasan yang agak luas kerana sekeliling masjid ini masih lagi mempunyai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan dengan tanaman tersebut, ” ujarnya lagi.

Jelas Siraj lagi, dengan adanya usaha sebegini ia membuktikan bahawa masjid bukan saja berfungsi untuk ibadah seperti solat dan kelas ilmu serta pengajian, sebaliknya ia boleh dipelbagaikan dengan memberi pulangan yang boleh memanfaatkan masyarakat sekeliling.

Tegasnya, setiap hari bekalan air yang telah disediakan dalam takungan besar akan dialirkan mengikut masa dan jadual yang telah ditetapkan dengan kadar yang telah ditentukan.

“Petugas kita akan mengalirkan air pada waktu yang telah ditentukan supaya benih dan baja pokok mendapat air yang secukupnya.

“Manakala itu serangan serangga atau makhluk perosak yang lain turut dipantau supaya cili ini dapat tumbuh dan membesar dengan baik.

“Alhamdulillah hasil usaha yang dijalankan sejak bulan puasa baru-baru ini ternyata memberikan pulangan yang menggalakkan kerana bukan saja ia dibeli oleh penduduk sekeliling, tetapi juga mendapat permintaan dari pemborong di beberapa kawasan berdekatan, ” tambah beliau.

Sehubungan itu katanya, projek tanaman cili ini akan menjadi perintis kepada projek lain yang akan diusahakan oleh jawatankuasa kariah bagi membuktikan bahawa fungsi masjid amat luas dan boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang sekiranya adanya kesungguhan.

Antara jawatankuasa masjid yang turut membantu memetik buah cili setiap hari sebelum dipasarkan.