Malaysia Dateline

Tanam buluh, nanas dan kelapa merupakan cadangan alternatif – Teresa Kok

Buluh, nanas dan kelapa adalah cadangan alternatif kepada pekebun kecil yang selama ini bergantung hanya kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan, dan bukan sebagai pengganti.

“Kenyataan saya hanya merujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di Pahang, yang kebetulannya mempunyai banyak buluh,” kztz Menteri Industri Utama, Teresa Kok bagi menjelaskan laporan Utusan bertajuk ‘Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh’ yang disiarkan pada Ahad.

Dalam kenyataan media beliau menyifatkan laporan akhbar itu sebagai tidak wajar walaupun isi kandungan laporan tersebut boleh diterima.

Pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Projek The Valley @ Bentong, Pahang, semalam, Kok berkata beliau ditanya oleh pemberita mengenai hasrat kerajaan untuk mengehadkan perluasan penanaman kelapa sawit.

“Justeru, saya menjelaskan bahawa kerajaan berbuat demikian sebagai antara langkah kita dalam melawan sentimen antiminyak sawit di Eropah yang kini menjejaskan pengeksportan minyak sawit negara ke pasaran global, khususnya negara Eropah,” katanya.

Oleh itu, Kementerian Industri Utama sedang mengambil langkah untuk menangani pengaruh kempen antiminyak sawit di Eropah yang mutakhir ini menjadi semakin kuat.

“Saya juga memberitahu wartawan semalam bahawa harga minyak sawit Malaysia jatuh dengan agak teruk tahun lepas. Ini sekali gus menjejaskan pendapatan ramai pekebun kecil.“

Oleh sebab itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menasihati rakyat, termasuk kementerian saya supaya tidak terlalu bergantung kepada satu-satu jenis tanaman.

Perdana menteri menegaskan mengenai pentingnya untuk Malaysia mengkaji kesesuaian penanaman tanaman alternatif bagi mempelbagaikan pendapatan pekebun kecil.

Bagaimanapun, pemilihan tanaman lain bergantung kepada kesesuaian tempat.

“Ada tempat yang sesuai untuk tanam pokok kelapa, ada yang lebih sesuai untuk nanas atau pokok durian. Dengan penjelasan ini, saya berharap kekeliruan dapat dirungkaikan,” katanya.- BERNAMA