Malaysia Dateline

Tanam ganja: Menteri Besar Selangor anggap tidak relevan

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menegaskan tiada keperluan negeri tersebut untuk melaksanakan penanaman ganja.

Dipetik dari Selangorkini, beliau berkata, ganja masih dikategorikan di bawah akta dadah berbahaya dan membabitkan banyak perkara sensitif jika cadangan itu dilaksanakan.

“Buat masa ini, bagi saya tidak relevan untuk Selangor dijadikan sebagai kawasan penanaman ganja kerana ia masih dikategorikan dalam akta dadah berbahaya.

“Kita perlukan kajian dan teruskan kawalan, buat masa ini saya tidak nampak lagi keperluan untuk ia (tanaman ganja) dilaksanakan,” ujarnya pada sidang media di Lobi Dewan Annex, di Shah Alam hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram, Mohd Shaid Rosli menyarankan Selangor sebagai pengeluar ganja terbesar dunia dengan Kuala Selangor sebagai pusat tanaman.

Menurut Shaid ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor pada sidang Dewan Negeri Selangor, kawasannya boleh dijadikan sebagai pusat kajian dan eksport pengeluaran memandangkan Kuala Selangor menjadi kluster agrikultur.

“Saya beri contoh, anda boleh dapat RM3,000 seekar setahun untuk minyak kelapa sawit. Ganja boleh dapat RM9 juta setahun, satu ekar dengan tiga kali tuaian boleh dapat RM9 juta setahun.

“Jika Selangor boleh keluarkan (ganja) lebih 100 ekar, kita akan jadi pengeluar ganja terbesar. Ini akan meletakkan Selangor di mata dunia dan kita akan jadi terkenal,” jelasnya lagi.