Malaysia Dateline

Tanam pokok bakau di pesisir pantai negara

Kanak-kanak antara peserta yang menanam pokok bakau di Kampung Pandak Puteh, Kuala Kurau, Perak baru-baru ini.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) baru-baru ini telah menganjurkan dua aktiviti serentak di Perak bagi menjayakan usaha memulihara dan memelihara ekosistem hutan dan kawasan pesisiran pantai.

Penyelarasnya, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, aktiviti penyelenggaraan dan sulaman pokok diadakan di Hutan Lipur Pasir Panjang, Segari, Daerah Manjung (HLPP).

Program disertai sekumpulan orang awam itu mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA).

“Bagi aktiviti di HLPP, Segari hanya melibatkan penyelenggaraan dan sulaman pokok-pokok hutan pantai (tanah berpasir) di kawasan yang telah ditanam sebelum ini,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Satu lagi aktiviti yang dianjurkan, katanya, ialah penanaman pokok bakau sempena Hari Konservasi Hutan Paya Laut 2018 di rizab sungai, Kampung Pandak Puteh, Kuala Kurau, Daerah Kerian.

Ujarnya, sebanyak 400 anak pokok bakau bagi tanah berlumpur berjaya ditanam.

Pogram ini mendapat kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Malaysia (JARING) dan Yayasan Hasanah.

“Kedua-dua aktiviti yang dianjurkan itu di bawah Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara.

“SAM sukacita dan berpuas hati terhadap komitmen dan kerjasama semua peserta yang menjayakan aktiviti yang diadakan,” tambahnya lagi.