Siapa sangka, seorang lelaki berjaya menggalakkan pertumbuhan tanaman miliknya hingga menjadi begitu subur dengan hanya menggunakan baja jenis semula jadi.
Perkara ini dapat dilihat menerusi gambar dikongsikan oleh lelaki terbabit di platform Facebook seperti pokok cili api, lengkuas, halia dan daun kunyit yang kelihatan begitu sihat.
Lebih mengagumkan, bahan yang digunakan lelaki itu untuk membuat baja tersebut sentiasa berada di pasaran malah sudah tersedia di dapur kediaman anda iaitu kulit bawang.
Bukan sahaja dapat menjimatkan kos, baja tersebut juga dapat mengelakkan pembaziran berikutan kulit bawang yang tidak digunakan dalam masakan boleh memberi manfaat kepada tanaman.
“Baja kulit bawang. Inilah di antara baja semula jadi yang saya gunakan untuk membantu pertumbuhan tanaman. Tiada ramuan istimewa langsung. Nak buat juga tidaklah susah, cuma perlu rajin sedikit,” katanya.
Perkara tersebut dikongsikan oleh lelaki dikenali sebagai Norahim Ibrahim itu menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook, Berkebun di Rumah sehingga perhatian ramai pengguna platform berkenaan.
Berikut kami kongsikan langkah mudah untuk membuat baja kulit bawang berdasarkan hantaran dimuat naik oleh Norahim yang boleh diikuti orang ramai terutamanya bagi peminat aktiviti mencucuk tanam.
- Kumpulkan semua kulit bawang (kulit bawang merah atau putih). Kemudian rendam, selama semalaman juga sudah cukup Keesokkan harinya, pokok sudah boleh mula disiram menggunakan baja ini.
- Sekiranya larutan rendaman tersebut terasa terlalu pekat, bolehlah cairkan dengan menambah sedikit air. Baja semula jadi ini disiram pada tanaman setiap hari, tiada masalah.
Selamat mencuba! Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada orang ramai.
Baca juga: Sayur cepat layu dalam peti ais? Ini 7 cara nak simpan ia biar tahan lama!