Tanamkan minat, bukan paksa anak hafal al-Quran

 

Zolkharnain Abidin

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menasihatkan golongan ibu bapa agar tidak terlalu mendesak anak masing-masing untuk menghafal al-Quran sebaliknya menanamkan minat untuk mereka mendalami kitab suci itu.

Menurutnya, anak-anak perlu mempunyai kemahuan dan minat mendalam untuk menghafal al-Quran dalam persekitaran yang selesa dan selamat.

“Kalau nak mereka hafal al-Quran, tanamkan minat, bukan paksa. Jangan bimbang, tak hafal al-Quran pun boleh masuk syurga.

“Jangan paksa anak hafal al-Quran pasal kita percaya mereka nak syafaat kita akhirat esok. Beramallah sendiri, jangan harap orang lain beramal untuk kita,” ujarnya dipetik dari status Facebook beliau hari ini.

Berkongsi pengalaman beliau dan rakan-rakannya sekitar 1980-an dalam memilih bidang tahfiz tanpa paksaan pada usia kesemuanya berusia 17 tahun ke atas, Ustaz Zolkharnain berkata, mereka pada masa ini berjaya dalam bidang masing-masing.

“Lain dengan anak-anak yang umur 9, 10, 11, 12 tahun. Ramai yang masuk bidang tahfiz sebab pilihan, desakan atau paksaan ibu bapa.

“Mereka masuk bidang ini dengan separuh hati, bahkan ada yang tak ada hati langsung,” ujarnya sambil meminta maaf bukan mahu menyalahkan ibu bapa yang terbabit.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengerusi AMANAH Perlis itu berkata, tindakan memaksa anak memasuki bidang tahfiz tanpa menitikberatkan mutu dan aspek keselamatan premis pusat hafalan itu terbukti membahayakan nyawa.

“Akhirnya, pilih pusat tahfiz swasta yang kualiti akademik dan pengurusannya longgar, asalkan anak mereka boleh dikurung untuk hafal al-Quran.

“Letak dalam bangunan sesak, satu pintu, letak jeriji, takut budak-budak tu lari. Penyudahnya, jadilah macam yang jadi itu,” jelasnya merujuk kepada tragedi kebakaran pusat tahfiz di ibu negara yang mengorbankan 23 nyawa, 14 September lalu.

Kunci pintu

Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Abdul Shukor Hussin menegaskan tanggapan sesetengah ibu bapa dengan menghantar anak ke pusat tahfiz sebagai penolong mereka di akhirat adalah salah.

Syurga hak Allah, ujarnya, dan tiada sebarang jaminan kerana hasrat memasuki syurga bergantung pada usaha masing-masing.

“Jangan mengorbankan anak ke tahfiz hanya untuk matlamat ini, sebaliknya ibu bapa perlu memahami dan mengatur pendidikan anak mengikut kemampuan mereka,” jelasnya dipetik dari akhbar Berita Harian semalam.

Felo Utama Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, ibu bapa perlu menyelidik terlebih dahulu latar belakang, sistem pengajian, guru serta prasarana yang kondusif dan selamat sebelum menghantar anak mereka di pusat tahfiz.

Dalam hal berkaitan, sebahagian besar pusat tahfiz dan sekolah pondok di seluruh negara didedah tidak mempunyai Sijil Kelayakan Menduduki (CF) selain tidak berdafatr dengan pihak berkuasa agama negeri.

Di Melaka contohnya, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengesan sebanyak 38 daripada 53 iaitu 72 peratus sekolah agama swasta di bawah Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPS) di negeri itu berisiko terdedah kepada bahaya apabila gagal menepati spesifikasi pelan keselamatan bangunan.

Bahkan, empat pusat tahfiz di Melaka dilapor semalam enggan mengisi borang untuk tindakan lanjut bagi tujuan pendaftaran sekaligus wujud kemungkinan bangunan pusat tahfiz terbabit tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dilapor memberitahu terdapat warden dan murid sendiri di sebuah pusat tahfiz di Seremban dalam pemeriksaan mengejut pada 15 September lalu tidak mengetahui di mana kunci pintu yang menghubungkan bilik asrama dengan tangga kecemasan disimpan.

CATEGORIES
TAGS