Tanamkan sikap toleransi yang tinggi untuk keharmonian hidup

Tanamkan sikap toleransi yang tinggi untuk keharmonian hidup

Sikap toleransi yang tinggi adalah kekuatan sebenar untuk kehidupan yang harmoni terutama ketika negara sedang menghadapi pelbagai isu dan cabaran yang melibatkan kaum dan agama, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wira Dr Farid Md Rafik,

Justeru, beliau berkata generasi muda perlu dipupuk dengan nilai-nilai yang baik kerana toleransi bukan sahaja akan membawa kepada kekuatan dalam hubungan antara kaum, agama dan latar belakang sosial, tetapi juga dapat mempromosikan kehidupan yang harmoni di Malaysia.

“Budaya toleransi yang telah ditanam dalam percampuran serta pergaulan bersama menjana hubungan baik bukan sekadar membentuk persahabatan tetapi ini juga  menggalakkan hubungan persaudaraan  antara  semua  agama dan etnik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Toleransi  Antarabangsa 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perpaduan dan Integrasi Nasional (PERPADUAN), Datuk Baharin Idris dan Wakil Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Stefan Priesner.

Dr Md Farid menambah Artikel 11 Perlembagaan Malaysia telah lama berfungsi sebagai nadi perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.

“Kesinambungan harmoni ini jelas kelihatan  dalam gaya hidup baru generasi muda Malaysia. Walaupun mereka berasal dari latar belakang sosial, agama dan etnik yang berbeza, namun  mereka dapat bersama-sama dan benar-benar menikmati cara hidup Malaysia.

“Perpaduan seperti ini yang mempunyai tahap toleransi yang tinggi dan mencari titik persamaan tanpa mengurangi rasa hormat diri seseorang, menunjukkan evolusi kita sebagai sebuah  negara kerana toleransi dan kesederhanaan tidak dapat dipisahkan,” katanya.

Sementara itu, Baharin menyifatkan program sebegini mampu menjadi pendedahan awal kepada golongan muda mengenai pentingnya  toleransi antara kaum dan agama di negara ini.

“Terutama di pusat-pusat pengajian tinggi  kerana di situ pelbagai kaum, bangsa dan agama ‘berhimpun’?. ?Sudah tentu perpaduan dan toleransi menjadi kekuatan kepada pusat pengajian tersebut dan seterusnya negara,” katanya.

— BERNAMA