Tangan kiri tiada tindak balas, Faisal Halim berada dalam pemantauan rapi pihak hospital

Oleh WAN SITI AMINAH

Tonggak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim kini berada di dalam pemantauan rapi pihak hospital selepas tangan kiri miliknya didapati sukar untuk bergerak.

Difahamkan, tangan pemain bola sepak yang berusia 26 tahun itu tiada tindak balas ekoran mengalami kecederaan teruk akibat insiden disimbah asid pada Ahad lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun media sosial X miliknya pada Selasa.

Dalam hantaran tersebut, Fina turut memberitahu bahawa pemain sayap negara itu tidak dibenarkan menerima pelawat bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman.

“Tiada tindak balas pada tangan belah kiri, Faisal Halim kini dalam pemantauan rapi.

“Dengan kecederaan melecur tahap empat, pemain kesayangan kita tidak mampu menerima ramai pelawat untuk mengelakkan sebarang jangkitan kuman dari berlaku,” tulis Fina dalam hantaran tersebut.

Sehubungan dengan itu, Faisal dikatakan bakal menerima ubat khas dari Australia bagi merawat kecederaan kesan tindak balas asid pada tangan, rusuk dan bahu.

Dalam perkembangan terbaharu, Faisal dikhabarkan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, semalam.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, Faisal mengadu sakit seperti terbakar dalam kulit dan mengerang kesakitan.

Terdahulu, Faisal yang mesra dengan gelaran Mickey itu disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada Ahad lalu di sebuah pusat beli-belah di sekitar Petaling Jaya.

Insiden yang mengakibatkan kelecuran di beberapa bahagian badan Faisal itu terjadi hanya selepas beberapa hari pemain kebangsaan lain iaitu Akhyar Rashid disamun.

Tidak hanya mengalami kerugian beribu ringgit, kepala Akhyar juga dihentak dengan kuat menggunakan cota dalam insiden mendebarkan yang berlaku di Terengganu itu.

Kedua insiden berkenaan meraih perhatian ramai pihak termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Baca juga: Persiapan dah 90 peratus siap, Radin dedah terpaksa tangguh majlis sebab pasangan sakit