Malaysia Dateline

Tangani Covid dengan lebih berkesan: Aktifkan penggerak masyarakat

Kes Covid kekal tinggi di bumi serambi Mekah yang dikasihi ini. Kemarin jumlahnya 370 kes baharu di catatkan. Semalam sudah meningkat kepada 662 kes, tertinggi di Malaysia.

Viral gambar Dataran Warisan berdekatan Stadium Sultan Muhammad IV dijadikan tempat untuk ujian Covid-19. Ramainya yang duduk beratur menunggu giliran.

Pertama kali dalam sejarah Jabatan Kesihatan negeri Kelantan menempatkan 100 katil pesakit di khemah Madinah Ramadan yang ditukarkan menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di Dataran Warisan ini. Madinah Ramadan sebelum ini menjadi mercu tanda Bandar Kota Bharu dengan kemeriahan rakyat berterawikh di bulan Ramadan.

Semalam juga viral gambar Dataran ini menjadi tempat ujian Covid-19. Ramai sungguh yang duduk beratur menunggu giliran.

Datang dari mana kes-kes yang semakin meningkat ini. Tentunya dari kegiatan rentas negeri sewaktu cuti sekolah dan musim kenduri kendara baru-baru ini.

Isunya adalah kegagalan pematuhan SOP. Yang bergejala masih ke sekolah dan ke tempat kerja. Yang dikuarantin bebas keluar ke tenpat orang ramai. Yang pakai gelang pink pun ke masjid bersolat terawikh.

Rakyat semakin kecewa dengan adanya SOP dan undang-undang dua darjat yang kelihatan berlaku berulangkali. Rakyat marhaen ditangkap dan dihukum sementara yang berdarjat dan berkedudukan boleh melanggarnya sesuka hati.

Antara kunci menangani wabak ini adalah

1. Langkah Pencegahan dengan pematuhan kepada SOP dan bagi mengelakkan PKP berpanjangan yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat bawahan.

2. Kerajaan perlu meningkatkan kemudahan untuk ujian Covid-19 dijalankan dan percepatkan proses ujian dan dapatan keputusan. Ujian Ujian Ujian supaya yang positif dan kontak mereka dapat di asingkan.

Pemberitahuan keputusan dan seterusnya pengesanan kontak rapat perlu diperkemaskan dengan penggunaan teknologi terkini. Pengesanan secara manual ternyata mengurangkan keberkesanan pengawalan penyakit covid ini.

3. Pemberian vaksin sebagai ikhtiar melindungi rakyat. Namun kita berhadapan tiga isu

i) Bekalan vaksin – Kita pun tidak tahu status terkini bekalan vaksin yang telah di beli kerajaan untuk rakyat kita.

ii) Kadar penyampaian vaksin kepada rakyat perlu ditingkatkan – Dengan kadar sekitar 20 ribu rakyat divaksin setiap hari kita masih jauh dari sasaran yg pernah di buat oleh MOSTI pada kadar 75 rubu penduduk sehari.

iii) kesediaan orang ramai untuk menerima vaksin. Laporan menunjukkan masih begitu sedikit rakyat Malaysia yang mendaftar untuk vaksin. Keadaan begitu menyedihkan bagi Kelantan dimana 259 000 atau 25% yang sudah mendaftar berbanding 1.2 juta yang disasarkan Jabatan Kesihatan Negeri.

AWAN Negeri Kelantan mendesak Kerajaan Negeri agar meningkatkan usaha membantu rakyat Kelantan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin supaya sasaran 80% peratus rakyat divaksin dapat kita capai.

Ini bagi membolehkan imunisasi kelompok tercapai sekaligus mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi dan sosial yang terkesan akibat pandemik covid-19.

Institusi masyarakat seperti Majlis Penghulu Mukim dan kepimpinan peringkat kampung boleh diaktifkan demi mencapai tujuan ini.
Penggerak masyarakat ini juga boleh bertindak sebagai agen pendidikan masyarakat bagi mendidik masyarakat berkaitan penyakit ini.

Kita juga mahu agar Parlimen dibuka semula supaya persoalan kepentingan rakyat seperti status perolehan bekalan vaksin dan perkara berkaitan dengannya dapat di suarakan oleh wakil rakyat bagi menjamin semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

Sesungguhnya rakyat sudah cukup menderita berhadapan dengan ujian kesihatan dan ushian ekonomi dan sosial yang menyusul dan amat mengharapkan sebuah kerajaan yang telus, adil , beramanah dan rahmah untuk membela nasib kami.
—————–
Penulis adalah Ketua Awan (Wanita AMANAH) Kelantan yang juga Pengerusi Biro Kesihatan, Awan Nasional.