Tangani isu keganasan secara menyeluruh, bersepadu

Tangani isu keganasan secara menyeluruh, bersepadu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Isu keganasan perlu ditangani secara komprehensif, menyeluruh dan bersepadu dan tidak mungkin diselesaikan melalui pendekatan jangka pendek, ‘adhoc’ dan bersifat reaktif semata-mata, kata Pengerusi Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agma (BiPPA) PKR, Senator Dr Muhammad Nur Manuty.

Menurut beliau, dunia antarabangsa perlu mencari prinsip dan kaedah imperatif untuk membanteras keganasan seperti disarankan ulamak terkemuka, Syeikh Yusuf al-Qaradawi.

Dr Muhammad merujuk siri tragedi pengemboman di beberapa kota dunia seperti Istambul, Paris dan yang terbaru Jakarta pada 14 Januari lalu.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai amat mendukacitakan dan dikesali, beliau berkata tindakan ganas itu amat tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan tatasusila semua agama.

“Justeru kami ingin mengangkat pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradawi, Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, yang telah mengemukakan langkah-langkah yang praktis (dalam tulisannya) Menelaah Realiti Umat Dalam Waktu Mutakhir.

“Menurut beliau, untuk membanteras ekstremisme, hendaklah bermula dengan kajian mendalam ke atas diri dan peribadi pengganas. Lazimnya mereka ini terlalu taksub dengan sesuatu ideologi yang dianuti. Ia juga berlaku akibat dari kefahaman yang janggal dan tercemar mengenai agama Islam,” jelasnya.  

Syeikh Yusuf juga, tambah beliau menjelaskan bahawa ekstremisme berlaku akibat daripada penindasan, ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku di beberapa negara Islam tertentu terutama di Timur Tengah.

Kesemua faktor seperti inilah, katanya yang melahirkan kelompok ekstremis yang sangat tegar berpegang dengan prinsip kekerasan (al-‘unuf).

Sehubugan itu, tambah beliau, perang ke atas keganasan fikiran dan fizikal ini tidak memadai dengan menggunakan senjata semata-mata malah memerlukan kajian mendalam, perancangan teliti,  hikmah, istiqamah dan kesabaran.

“Kita juga berkeyakinan bahawa seandainya fahaman dan amalan demokrasi iaitu kebebasan, keadilan dan ketelusan pemerintahan dipraktiskan secara berkesan, kelompok masyarakat yang berilmu, matang dan bijaksana akan meluas dan berkembang.  

“Unsur-unsur yang bersifat tegar dan ganas akan dapat dibanteras dan disekat,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara selama ini dikenali sebagai rantau damai dan aman manakala amalan Islam yang bersifat wasatiyyah dan sederhana telahpun dihayati dan diamalkan sejak dari awal perkembangannya.

Justeru tambahnya, iklim dan budaya seperti ini hendaklah disuburkan dan dikekalkan.  
Dr Muhammad juga memetik hadis sahih yang bermaksud: “Binasalah golongan yang bersangatan (al-mutanattiu’un) dalam sesuatu perkara.”

Pihaknya juga menyeru institusi politik, agama, keselamatan, tentera, pendidikan, sosial, NGO dan lain-lain kelompok yang relevan untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha membanteras keganasan.

Beliau turut mendokong sepenuhnya kenyataan rasmi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berhubung isu ini.

TAGS