Tangani isu Palestin dengan serius dan berhati-hati, seru Serantau Muslim

Tangani isu Palestin dengan serius dan berhati-hati, seru Serantau Muslim

Pertubuhan Kebajikan Serantau Mislim menyeru pihak-pihak terbabit supaya menangani isu Palestin dengan serius dan berhati-hati agar tidak menimbulkan perbalahan.

Menurut Pengurus Besar pertubuhan itu, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor, ekoran isu pertumpahan darah di sempadan Israel-Gaza baru-baru ini, Serantau Mislim melihat banyak pihak memandang serius isu ini agar tidak berulang lagi.

Walau bagaimanpun katanya, Serantau Muslim melihat isu ini akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana sehingga hari ini Perjanjian Oslo yang dimeterai sejak 1993 masih tidak mampu membawa perdamaian antara pihak Palestin dengan negara Israel.

“Terbaru, laporan media menyatakan bahawa pemerintah Arab Saudi, Raja Salman mengulangi sokongan negara itu terhadap pembentukan sebuah negara Palestin dan proses damai perlu diteruskan di antara kedua belah pihak.

“Pada masa yang sama, Putera Mahkota beliau juga berkata bahawa Israel berhak untuk tinggal secara aman di tanah airnya. Serantau Muslim melihat kenyataan ini bertentangan dengan antara satu sama lain,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Serantau Muslim melihat bahawa pewaris takhta pemerintah Arab Saudi, Mohammed bin Salman adalah seorang anak muda yang mempunyai matlamat dan bercita-cita besar untuk menerajui tampuk pemerintahan negara kerana berani mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan ayahnya, Raja Salman yang ingin pembentukan sebuah negara Palestin.

Namun begitu tambahnya, Serantau Muslim juga melihat isu ini sangat sensitif dan tidak perlu dilayan dengan mudah kerana negara pada dasarnya konflik ini merupakan pertikaian antara dua kumpulan mengenai tuntutan tanah yang sama.

“Situasi ini memerlukan hubungan diplomatik antara dua belah pihak iaitu Israel dan Palestin agar kedua-dua dapat manfaat yang sama.

“Dalam pada itu juga, pendirian teguh Raja Salman terhadap isu Palestin dan hak rakyatnya ke atas sebuah negara bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara disambut baik oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

“Mahmoud Abbas berterima kasih terhadap sokongan Raja Salman terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan Baitulmaqdis dan kota sucinya,” kata beliau.

Serantau Muslim merasakan bahawa perdamaian boleh dilaksanakan tetapi penekanan khusus perlu terhadap kebajikan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan segala hak asasi untuk rakyat Palestin, kata Mohd Hakim.

Hal ini ujar beliau, kerana ia merupakan keperluan asas bagi rakyat Palestin untuk melangsungkan kehidupan seharian di tanah air sendiri.

“Sejujurnya, Serantau Muslim melahirkan rasa kurang selesa terhadap kenyataan yang sensitif ini dan perlu lebih berhati-hati agar tidak membawa kepada konflik antara kedua belah pihak yang sememangnya sudah tegang.

“Justeru, harapan Serantau Muslim adalah dengan mengadakan hubungan damai antara kedua belah pihak yang bertelagah.

“Serantau Muslim berharap akan terbit sinar baru buat rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri dan jika perdamaian ini benar-benar wujud, diharap Israel dapat mengurangkan kekuasaannya agar lebih adil dan saksama terhadap rakyat Palestin,” tambahnya.

Serantau Muslim juga katanya, menyeru semua insan dapat mendoakan rakyat Palestin sentiasa dilindungi dan akan mendapatkan hak asasi mereka serta bebas mentadbir kerajaan sendiri tanpa ada campurtangan luar demi menjamin kestabilan ekonomi, politik dan sosial.

6.0
OVERALL SCORE
: 6.0
Have no any user vote