Malaysia Dateline

Tangani isu pengangguran kritikal di Sabah

Perwakilan Sabah, Khairuddin Daud berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat menangani isu pengangguran yang semakin kritikal di negeri itu.

Menurutnya, kementerian yang diterajui pemimpin AMANAH itu boleh berbuat demikian melalui kaji selidik dan penggalakkan bidang keusahawanan dan pertanian untuk golongan muda.

Hal tersebut, ujarnya, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu menyediakan 100,000 peluang pekerjaan terutama kepada rakyat di Sabah.

“Pengangguran dalam kalangan anak muda di Sabah masih tinggi dan menjuarai kadar pengangguran tertinggi
mengikut negeri dengan peratusan 5.6 peratus di semua peringkat umur pada 2017.

“Maka, ini menjadi cabaran besar untuk kerajaan hari ini dalam menangani isu pengangguran di Sabah.

“Boleh jadi, ia menjadi indikator penilaian prestasi kementerian berkaitan oleh rakyat Sabah,” jelasnya dalam perbahasan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh hari ini.

Khairuddin berkata, golongan muda Sabah terpaksa berhijrah ke Semenanjung Malaysia semata-mata untuk mencari peluang pekerjaan.

“Kalau di sini (Semenanjung) isunya memilih peluang pekerjaan; di Sabah, peluang pekerjaan pun kurang untuk dipilih.

“Maka menerusi inisiatif pertanian dan keusahawanan, saya percaya peluang pekerjaan boleh diwujudkan dengan tidak hanya menumpukan peluang pekerjaan itu di bandar malah boleh diwujudkan di kampung halaman sendiri,” ujarnya.

Menyentuh isu pertanian di Sabah, beliau memberitahu kebanyakan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) yang wujud sejak Umno-BN menjadi lubuk pendapatan untuk Umno-BN berkuasa.

“Lebih malang lagi, sejak era BN berkuasa, ahli PNK dan PPK yang tidak pro kepada kerajaan ketika itu, dinafikan daripada mendapat bantuan.

“Penguasaan Umno-BN dalam persatuan-persatuan ini menjadi talian hayat mereka dan boleh menjadi punca sabotaj kerajaan pada hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, Khairuddin menyeru agar penelitian dilakukan terhadap PPK dan PNK agar dapat berfungsi dengan baik.

Mengulas ketiadaan peruntukan subsidi baja kepada petani padi bukit dalam Belanjawan 2019, beliau berkata, golongan terbabit mengusahakan pertanian untuk sara diri dan bukannya mengaut keuntungan pada skala besar.

“Subsidi ini dikhususkan kepada Sabah dan Sarawak sahaja dan sekiranya tiada peruntukan disediakan, maka akan menjejaskan lebih 20,000 petani padi bukit.

“Ya, mungkin berlaku kecurangan dalam pemberian subsidi ini. Namun, janganlah peruntukan yang dimansuhkan tetapi kecurangan perlu diselesaikan,” tegasnya lagi.