Malaysia Dateline

Tangani isu rasuah tambah baik keyakinan rakyat terhadap polis

Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong berkata, mewujudkan perkhidmatan polis yang berorientasikan masyarakat, cekap menggunakan kaedah dan teknologi yang canggih dan terkini serta mementingkan siasatan dan maklumat mesti menjadi matlamat kerajaan.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu berpendapat hal ehwal warga polis perlu diteliti dalam persekitaran dunia yang berubah.

“Jadi, kerajaan perlu pertimbangkan sama ada kelengkapan dan organisasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menepati keperluan yang timbul berdasarkan cabaran hari ini.

“Pada masa yang sama, timbul juga persoalan sama ada PDRM perlu melihatkan diri sendiri sebagai satu ‘service’ (perkhidmatan), dan tidak lagi sebagai satu ‘force’ (angkatan).

“Bagi menambahbaik keyakinan rakyat terhadap polis, isu rasuah perlu juga ditangani,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Polis ke-214 kepada warga PDRM.

Chin Tong yang juga bekas Ahli Parlimen Kluang, Johor itu berkata, anggota PDRM perlu dipastikan dilengkapi dengan kenderaan ronda, perumahan, dan teknologi yang memudahkan kerja mereka.

“Jasa mereka dalam menjamin keselamatan negara, dari tahun-tahun awal merdeka menentang komunis, sehingga sekarang dalam menghadapi wabak Covid-19, sentiasa akan disanjung rakyat,” katanya lagi.