Malaysia Dateline

Tangani isu sugardaddy: Kerajaan diminta titik berat kebajikan mahasiswa

Isu peningkatan jumlah mahasiswa yang didakwa menggunakan aplikasi ‘sugarbook’ membuktikan bahawa kesukaran hidup mahasiswa merupakan satu isu yang nyata walau hakikatnya gejala itu bukan sesuatu yang baharu.

Naib Presiden Mahasiswa PKR, Firzan Hakimi berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta beberapa agensi kerajaan yang lain, perlu mengadakan sesi libat urus yang lebih komprehensif dan efektif bagi menyelesaikan isu kebajikan mahasiswa.

Ini sekaligus katanya, mampu membanteras masalah sahsiah dan akhlak mahasiswa.

“Bertambah parah apabila sebahagian besar mahasiswa terjejas akibat penularan wabak Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Faktor ini menyebabkan ramai pelajar kehilangan punca pendapatan kerana ibu bapa dan penjaga mereka tidak dapat lagi menampung kesukaran yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, berdasarkan laporan daripada Sugarbook yang merupakan sebuah platform mencari teman ‘sugar daddy-sugar baby’ terbesar di Asia, jumlah pendaftar dalam kalangan mahasiswa meningkat sehingga 40 peratus sejak Januari lalu.

Laporan tersebut mendedahkan seramai 12,705 mahasiswa terdiri daripada penuntut IPT di Lembah Klang dan turut melibatkan dua universiti awam yang berdaftar dengan platform itu.

Justeru tegas Firzan, kerajaan perlu menyediakan beberapa insiatif yang berkesan untuk mahasiswa mencari sumber pendapatan seperti berniaga atas talian dan memudahkan perjalanan mereka bagi mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).