
Tangani ketirisan hasil sawit
Pekebun sawit hari ini mendakwa terdapat ketirisan yang berlaku ketika hasil jual beli sawit Pertubuhan Peladang Kawasan.
Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim mengakui menerima aduan berkaitan hal tersebut.
Menurutnya, ketirisan hasil komoditi itu berlaku di tiga tempat operasi jual beli sawit.
“Kita sudah kenal pasti, tiga tempat yang dikesan telah berlakunya ketirisan adalah di pusat timbang sawit, semasa perjalanan dari tempat sawit ke tempat timbang dan di kilang di mana peratus perahan yang rendah serta tidak munasabah.
“Di pusat timbang terdapat kes-kes yang berlaku seperti buah di tapak timbang letak di kawasan terbuka menyebabkan berat berkurangan disebabkan penyejatan.
“Selain itu, terdapat juga kes di mana alat timbangan diubah suai tanpa kelulusan dengan secara tidak jujur berlaku,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ir Khairuddin A Rahim
Beliau turut menegaskan bahawa terdapat aduan di mana sawit menyusut sebanyak 5.5 peratus sewaktu perjalanan dari tempat pungutan ke tempat timbangan dan kesusutan itu berkadar tinggi.
Sehubungan itu, Khairuddin yang juga Setiausaha AMANAH Johor memberi beberapa cadangan bagi mengatasi permasalahan yang berlaku.
“Saya mencadangkan agar semua lori yang mengangkut sawit ini dilengkapi dengan sistem GPS (sistem pengesan global) dan lori dibernarkan untuk berhenti hanya di kawasan perhentian yang telah ditetapkan lebih awal.
“Setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mewujudkan jawatan ‘corporate intelegent’ untuk mengenal pasti dan mengekang ketirisan.
“Semua Ahli Lembaga Pengarah (ALP) mesti kerap turun padang membuat lawatan mengejut ke pusat timbang dan membuat pertukaran kakitangan dengan lebih kerap.
“Selain itu, mengadakan kursus motivasi pada setiap tahun dan Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) mesti kerap membuat lawatan,” sarannya lagi.