Malaysia Dateline

Tangani kos sara hidup rakyat: Dulu Wan Saiful buat apa?

Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj menangkis serangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya gagal menangani kos sara hidup rakyat.

Baru-baru ini, Wan Saiful mengkritik pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dikatakan gagal menangani kenaikan kos sara hidup.

Pertikaian Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu muncul meskipun Anwar telah memberi tempoh dua minggu sejak 27 November lalu untuk kementerian berkaitan memberikan cadangan mereka.

Wan Saiful Wan Jan

Mengulas lanjut, Yuneswaran berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara telah dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri bagi membincangkan isu kos sara hidup yang menekan rakyat.

“Mesyuarat pertama yang Perdana Menteri pengerusikan ialah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 dan saya yakin jabatan dan agensi kerajaan sedang berusaha untuk membantu rakyat melalui Kerajaan Perpaduan.

“Saya nak tanya Wan Saiful, dulu jadi kerajaan tiada apa-apa cadangan mahupun tindakan dilakukan untuk atasi isu kos sara hidup ke?

“Jika dulu tak lakukan apa-apa perubahan, tidak perlu pertikaikan sekarang,” soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Yuneswaran berkata, Kerajaan Perpaduan ketika ini sentiasa berusaha untuk membantu rakyat dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang dengan menghasilkan cadangan dan polisi yang lebih kukuh untuk menghentikan kenaikan harga barang.

Tambahnya, pemimpin Perikatan Nasional (PN) ketika ini ketandusan idea sehingga berterusan mempertikai segala usaha baik yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.

Baca juga Cakap ‘beri kuasa’ itu semua menipu – Nazri Aziz bidas Mahathir isu ragui keupayaan PM Anwar