Malaysia Dateline

Tangani langkah politik tidak kena ‘selera tekak’ secara toleransi

Shazni Munir Mohd Ithnin

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin mengingatkan bahawa apa juga langkah politik yang mungkin tidak kena dengan ‘selera tekak’ para ahli, wajar ditangani dengan toleransi.

Beliau berkata, sebarang agenda ketetapan organisasi yang menguatkan parti dan membantu rakyat sewajarnya didukung secara konstruktif.

“Adapun dalam hal yang diperselisihkan, misalnya dalam mengambil satu-satu langkah politik yang mungkin tidak kena dengan selera tekak kita wajarlah ditangani dengan toleransi.

“Atau mungkin jika kita tidak bersetuju dengan seseorang rentetan sejarah peribadi yang tidak terungkap, itu juga menuntut untuk kita saling bertoleransi.

“Malah, dengan komunikasi yang baik, perselisihan itu kadang-kadang boleh menatijahkan titik persefahaman pula,” katanya sempena Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional kali kelima di Pusat Konvensyen Bayou Lagoon di Bukit Katil, Melaka pagi ini.

Turut serentak berlangsung ialah Konvensyen Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Nasional yang dirasmikan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam masa sama, Shazni turut menyelar Langkah Sheraton pada Februari lalu yang disifatkannya sebagai menjijikkan dan menjadi punca utama ketidakstabilan politik negara ketika berdepan dengan krisis pandemik Covid-19.

Acara tahunan sayap parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertemakan “Memimpin Gerakan Kepemudaan” dirasmikan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Buat julung kalinya juga, Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional kali ini mengamalkan budaya tanpa kertas dengan menyediakan buku program melalui Portable Document Format (PDF).