Malaysia Dateline

Tangani masalah rantaian bekalan makanan, elak harga naik mendadak

Kerajaan seharusnya menangani masalah rantaian bekalan makanan agar tiada lagi isu kenaikan harga barangan makanan terutama rungutan dari pengguna berkenaan harga ayam dan sayur di pasar-pasar.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, biarpun krisis wabak Covid-19 memberi kesan secara tidak langsung kepada permintaan dan harga makanan, kerajaan seharusnya mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan harga barangan sentiasa terkawal.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan akan melaksanakan Skim Kawalan Harga Maksimum sebagai langkah membendung kenaikan harga barangan keperluan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tapi seperti yang kita sedia maklum, harga ayam dan sayur tetap meningkat.

“Sekiranya pihak kerajaan menangani masalah rantaian bekalan makanan, perkara ini mungkin tidak akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Timbalan Presiden AMANAH itu berkata, sewaktu pentadbiran PH, MOA dan KPDNHEP sentiasa bekerjasama erat dalam memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga bahan makanan berpatutan terutamanya sepanjang musim perayaan.

Tahun lepas sahaja katanya, dua kementerian terbabit bertindak secara proaktif melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan untuk 27 jenis barangan makanan bermula 15 hari sebelum musim perayaan dan 15 hari lagi selepas itu.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, tindakan berkenaan bagi memastikan harga barangan tidak naik mendadak seperti yang biasa terjadi menjelang Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.

“Hasilnya, harga bekalan makanan telah kekal terkawal dan munasabah dalam tempoh tersebut.

“Justeru, saya ingin menggesa agar kerjasama yang erat antara pihak MOA dan KPDNHEP terus dilakukan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga kekal berpatutan,” ujarnya.