Malaysia Dateline

Tangani pandemik, pendekatan Selangor lebih jelas dan terarah

Langkah proaktif Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Harapan dalam menangani pandemik Covid-19 di negeri ini disifatkan lebih jelas dan terarah.

Oleh itu, Pengarah Komunikasi (KOMSEL) AMANAH Negeri Selangor Wan Anwar Wan Ibrahim berharap Kerajaan Persekutuan dapat mencontohi pendekatan Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani pandemik Covid-19 hari ini tanpa mengetepikan kepentingan membangunkan semula ekonomi serta memelihara kebajikan rakyat.

Bahkan katanya, Kerajaan Persekutuan juga hendaklah bersikap terbuka dan telus dalam berkongsi data dan maklumat yang diperlukan dengan Kerajaan Negeri dalam mewujudkan sinergi bersama dalam memerangi Covid-19 secara keseluruhan.

Jelasnya, tiga perkara besar daripada pendekatan Kerajaan Negeri dalam memerangi Covid-19 iaitu, menjalankan program saringan Covid-19 secara percuma di seluruh 56 DUN bagi mencapai sasaran saringan berkelompok dan pengesanan awal bagi tindakan susulan segera.

“Mengenal pasti sasaran yang jelas mengikut keutamaan bagi melaksanakan program vaksinasi yang terdiri daripada kumpulan barisan hadapan, berisiko tinggi, warga emas, buruh, golongan terpinggir dan seluruh rakyat di Selangor.

“Menempah sebanyak 2.5 juta vaksin bagi tujuan program vaksinasi tersebut,” katanya.

Beliau juga selari dengan Kerajaan Negeri bahawa tidak ada keperluan untuk mengenakan “total lockdown” di seluruh Selangor kerana dibimbangi akan menjejaskan ekonomi negeri yang menyumbang sebanyak 20 peratus daripada KDNK negara dan juga kesihatan mental rakyat terbanyak termasuk peniaga-peniaga kecil.

“Jika “total lockdown” tersebut adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, maka tindakan tersebut hendaklah dilakukan dengan lebih bersasar dan berkesan tetapi hanya selepas saringan berkelompok dijalankan,” katanya.

Hari ini Menteri Kanan Datuk Ismail Sabri akan mengumumkan SOP PKP 3.0 yang lebih ketat termasuk menghadkan aktiviti ekonomi dan juga sosial ini berikutan peningkatan kes positif yang begitu ketara sejak akhir-akhir ini.