Malaysia Dateline

‘Tanggalkan baju pasukan pada pemilihan lepas’

Pemuda AMANAH Nasional menyeru agar anggotanya menjadikan tindakan bekas ketua mereka, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim keluar parti, sekali gus meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sebagai detik untuk memperkukuh sayap tersebut.

Exconya, Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar mengajak agar kesemua pasukan Pemuda AMANAH iaitu Pemuda Bangkit, Bekerja, dan Wibawa pada pemilihan Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional sesi 2019-2022 lalu agar tidak memulangkan paku buah keras.

“Atas sebab itu, saya memohon kawan-kawan tanggalkanlah baju pasukan masing-masing yang disarung ketika pemilihan yang lepas.

“Janganlah jadikan ini peluang untuk memulangkan paku buah keras kepada team Bekerja walaupun masih terasa hati akibat percakaran adik-beradik semasa tempoh berkempen yang lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Hasnul sebelum ini mengetuai kumpulan Pemuda Bekerja manakala Pemuda Bangkit diketuai Abbas Azmi yang merupakan bekas Ketua Pemuda AMANAH Selangor.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Selayang, Wan Anwar Wan Ibrahim pula mewakili Pemuda Wibawa.

Pada Julai tahun lalu, Pemuda Bekerja melancarkan gagasan 531 dalam sesi pengenalan calon kumpulan itu dengan menawarkan lima teras utama bagi memandu Pemuda AMANAH bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Lima teras itu adalah: Memacu pembinaan Negara Rahmah; Membina pengaruh di negeri majoriti Melayu; Memperkasa organisasi; Memantapkan sistem latihan dan pengkaderan; dan Membangunkan program kebajikan yang mampan

Mengulas lanjut reaksi marah dan terkejut anggota Pemuda AMANAH dengan tindakan Hasnul melompat keluar parti untuk memelihara jawatan dan kedudukannya, Khuzaifah mengingatkan pentingnya Pemuda memilih ketua yang mampu menyatupadukan semua kumpulan.

“Saya juga menyeru barisan pimpinan yang akan memilih Ketua Pemuda yang baru ini untuk memilih seorang ketua yang mampu membawa Pemuda AMANAH ke hadapan.

“Pilihlah ketua yang mampu menyatu-padukan kita dan menggembleng tenaga semua pihak. Buanglah sentimen perpuakan, dan ketepikan mereka yang pernah khianat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Perhubungan Institut Kajian dan Pembangunan Polisi (IRDP) berharap Pemuda AMANAH akan meneruskan perjuangan pimpinan parti yang dihomrati kerana berprinsip.

“In shaa Allah, Pemuda AMANAH bakal menyambung perjuangan abang-abang kita yang kini dipuji dan dikagumi atas integriti dan setiakawan mereka,” tambahnya lagi.