Dari segi kos penyelenggaraan kereta buatan Malaysia berbanding kereta import lain,Pengurus Pengarang (Managing Editor) Careta Media, Hezeri Samsuri menjelaskan, tanggapan bahawa kereta buatan Malaysia mempunyai kos penyelenggaraan yang rendah adalah tidak begitu tepat.

Beliau memberikan contoh Proton, jenama itu katanya, tidak akan boleh menandingi harga-harga rendah daripada jenama lazim Jepun kerana jenama dari negara matahari terbit itu mempunyai satu kelebihan yang sangat ketara.
“Kos pembuatan akan menurun jika jumlah yang perlu dihasilkan adalah lebih tinggi. Proton hanya mampu menghasilkan kurang daripada 75,000 kenderaan setahun, berbanding dengan Toyota yang menghasilkan hampir 10,000,000 kenderaan setahun.
“Ia umpama membeli barang dari pasar mini 24 jam dan membeli barangan yang sama dari pasar borong.
“Kenderaan import juga menggunakan konsep yang sama. Walaupun ia jenama luar, ada banyak vendor tempatan yang menghasilkan alat ganti dan komponen mereka, kerana banyak jenama luar di pasang dalam negara,” katanya kepada Malaysia Dateline.
Baca: Apa kata pakar automatif
Dalam menceritakan tentang kenderaan Toyota Vellfire, Honda Accord dan Proton, satu jenama kenderaan tempatan juga tidak terkecuali daripada sebutan Hezeri, iaitu Perodua.
Hazeri berkata, Perodua adalah jenama tempatan mempunyai kos penyelenggaraan yang rendah dan tahan lasak.
“Namun begitu, kerajaan nampaknya tidak begitu menganggap Perodua sebagai kenderaan nasional yang tulen walaupun Perodua yang paling banyak menyumbang dalam industri automotif negara dari segi jumlah jualan, jumlah vendor serta jumlah pekerjaan yang ditawarkan.
“Kini, Proton pula hanya mengimport kenderaan dan pakar-pakar dari China sahaja,” jelasnya lagi.
*Bersambung ke Bahagian 3 (akhir): Kenderaan import lain yang bersesuaian, selain Vellfire dan Accord.