Malaysia Dateline

Tangguh bayaran balik pinjaman perumahan kakitangan awam, cadang mantan Tim Menteri Kewangan

Menjelang pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang lebih menyeluruh esok, bekas Timbalan Menteri Kewangan mencadangkan agar kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan kakitangan awam bagi mengurangkan kesan Covid-19.

Datuk Wira Amiruddin Hamzah dalam satu suratnya kepada Perdana Menteri berkata, penangguhan ini wajar dipanjangkan kepada sektor penjawat awam yang berkhidmat di barisan hadapan (frontliners) termasuklah doKtor-doktor, jururawat-jururawat, askar-askar dan semua kakitangan/personel yang termasuk di bawah kategori barisan hadapan ini.

Surat Amiruddin ini dibuat menjelang Jumaat esok di mana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji akan mengumumkan satu pakej ransangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh bagi mengekang kesan ekonomi kepada rakyat ekoran penularan wabak Covid-19.

Di samping itu, Amiruddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu itu membuat tiga lagi cadangan untuk dipertimbangkan oleh Muhyiddin.

Pertama, beliau mencadangkan agar penangguhan pembayaran (moratorium) ke atas pinjaman-pinjaman selama enam (6) bulan yang diumumkan sebelum ini diikuti dengan penggantungan faedah ke atas pinjaman-pinjaman tersebut.

Katanya, ia lebih berkesan berbanding faedah (keuntungan bagi pinjaman-pinjaman perbankan Islam) berterusan dan terakru ke atas pinjaman-pinjaman di bawah penangguhan pembayaran (moratorium) tersebut.

“Ini bermakna bayaran balik pinjaman yang akan dibayar selepas tempoh enam (6) bulan tersebut tidak akan bertambah dengan jumlah faedah terakru. Manfaat yang sama juga adalah terpakai bagi pinjaman perbankan Islam,” katanya.

Yang kedua, adalah berkenaan pengeluaran I-Lestari di mana pencarum KWSP di bawah umur 55 tahun boleh mengeluarkan wang simpanan dalam Akaun 2 maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan dan pengurangan kadar caruman pekerja sebanyak 4%, yang mana kedua-duanya berkuatkuasa bulan April 2020.

“Saya berpandangan yang bentuk bantuan ini adalah tidak praktikal untuk masa depan pencarum-pencarum tersebut,” katanya.

Ini adalah kerana wang simpanan KWSP adalah untuk simpanan dan kegunaan hari tua mereka, katanya.

Bagi beliau, golongan yang terkesan adalah termasuk kelompok nelayan, pekebun kecil, pekerja bergaji harian dan penjual burger.

Katanya, majoriti daripada pencarum-pencarum tersebut tidak mempunyai wang yang mencukupi di dalam Akaun 2 mereka untuk membuat pengeluaran maksima RM 500 sebulan selama 12 bulan tersebut.

“Ini akan menjadikan mereka senang yang hanya sementara dan terpaksa akhirnya menanggung kesusahan di masa depan. Justeru, adalah wajar untuk bantuan jenis lain diberikan kepada mereka,” katanya.

Yang ketiga, beliau berpandangan yang Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) (“OPR”) sedia ada pada kadar 2.5% diturunkan kepada 1.0% hingga 1.5%.

“Apabila OPR diturunkan, pembayaran bulanan pinjaman mereka juga akan berkurangan. Semestinya ini dapat meringankan beban ekonomi sektor korporat dan individu negara kita terutamanya dalam masa-masa yang mencabar ini,” katanya.

Katanya, dalam keadaan yang luar biasa dan terkecuali seperti yang dihadapi negara sekarang ini, pendekatan yang wajar diambil juga perlu lebih luar biasa dan istimewa.

Peraturan-peraturan dan langkah-langkah berhemah yang diterapkan dalam sistem asasi perbankan selama ini, yang mana telahpun menyumbang kepada kestabilan dan keuntungan sistem tersebut semenjak Krisis Kewangan Asia tiga (3) dekad yang lalu, adalah semestinya berperanan untuk digunakan sebagai satu pendekatan yang fleksibel dalam keadaan semasa ini.

“Saya berharap agar pandangan saya ini dapat dipertimbangkan oleh YAB Perdana Menteri dalam merealisasikan pakej ransangan ekonomi prihatin rakyat tersebut,” katanya dalam surat tersebut.