Malaysia Dateline

Tangguh bicara untuk ber’fun fair’ di Chini

Alasan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) rupanya untuk pergi berpesta dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini.

Inilah komen-komen netizen selepas tular video Najib menaiki kereta berangkai menemui para pengundi di kawasan Felda dalam kawasan PRK itu.

“Alasan tak nak hadir mahkamah, sebab nak buat fun fair,” tulis seorang netizen ketika mengulas video Najib bermain kereta itu ketika berkempen.

“Macam yang ada kat shopping mall. Sape nak naik beli tiket dulu ye,” tulis Najib dalam facebook beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada 1 Julai lalu membenarkan permohonan penangguhan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memberi laluan kepada Najib untuk berkempen di PRK Chini yang akan berlangsung Sabtu ini.

Chini merupakan salah satu DUN dalam kawasan Parlimen itu dan PRK kali ini merupakan yang pertama dijalankan selepas Perintah Kawalan Pergerakan kerana pandemik Covid-19 sejak Mac lepas.

Najib ke Chini untuk berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain mewakili UMNO yang akan menentang dua calon bebas iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Terdahulu, Collin ada bertanya kepada Najib yang sedang menghadapi pertuduhan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion sekiranya perbicaraan boleh disambung esok pagi untuk setengah hari.

Namun menurut peguambela Najib, keadaan itu agak susah memandangkan beliau sudah memulakan kempen di Chini dan untuk pulang bagi perbicaraan keesokan pagi agak menyukarkan.

Jadual kempen Najib juga agak padat siang malam untuk beberapa hari sehingga pengundian kata Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.