Malaysia Dateline

Tangguh dahulu dos kedua, utamakan dos pertama pada semua rakyat

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada cadangan agar dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia sebelum pemberian dos kedua.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak harus dibiarkan menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan dos pertama, sedangkan ada individu lain sudah dalam giliran untuk mendapatkan suntikan kedua.

“Saya cadangkan kerajaan teliti segera cadangan ini dan tumpu kepada dos pertama dan tangguhkan dos kedua. Kita tumpu untuk semua rakyat sebelum fokus kepada dos kedua.

“Saya buat pembacaan dan semakan adakah ia akan menggugat keselamatan kesihatan rakyat (sekiranya menangguh dos kedua), jawapannya tidak. Tetapi ia lebih baik sebab ramai rakyat dapat manfaat.

“Apa kata tunggu dulu dos kedua itu. Tunggu dan berikan kepada rakyat yang belum dapat dos pertama. Tapi sekarang ini lepas tiga minggu, dah bagi dos kedua. Takpayah lah begitu. Rakyat lain ni nak tunggu berapa lama pula. Enam bulan?,” soalnya dalam sidang medianya hari ini.

Presiden Pakatan Harapan (PH) itu juga menegaskan, kerajaan perlu memudahkan proses orang ramai untuk mendapatkan vaksin dengan menghapuskan segala jenis borang yang rumit dan menyukarkan orang ramai.