Malaysia Dateline

Tangguh hantar pulang pelarian, mulakan dialog Asean, desak PH

Pakatan Harapan menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia perlu mempertimbang semula keputusan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar kerana tindakan sedemikian mengesah dan mengiktiraf junta tentera di Myanmar.

Dalam kenyataan bersama tiga pemimpinnya berkata, tindakan menghantar pulang pelarian ke zon konflik sebelum keadaan benar-benar stabil dan selamat mungkin menjejaskan keselamatan pelarian.

“Pakatan Harapan menggesa Kerajaan Malaysia untuk memulakan dialog di antara pemimpin-pemimpin ASEAN dan junta Myanmar untuk menghentikan kekerasan terhadap penunjuk perasaan, membebaskan semua tahanan politik, serta mengembalikan demokrasi dan institusi Parlimen di Myanmar,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim Presiden PKR, Haji Mohamad Sabu Presiden AMANAH dan Lim Guan Eng Setiausaha Agong DAP.

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah mengarahkan penghantaran pulang 1,200 warga Myanmar ditangguhkan selama dua hari.

Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak menghalang Kerajaan Malaysia dari meneruskan tindakan menghantar pulang ini setelah tamat tempoh tersebut.

Pada masa yang sama, kata kenyataan itu, Pakatan Harapan dimaklumkan tentang kemungkinan terdapat sejumlah kanak-kanak dari kalangan 1,200 warga Myanmar ini yang bakal dihantar pulang dan dipisahkan dari ibu bapa mereka.

“Jika benar, ini adalah satu keadaan yang membimbangkan.

“Kami memohon pihak berkuasa dengan kerjasama UNHCR segera mengesahkan sama ada perkara ini adalah benar atau tidak,” kata kenyataan itu.