Tangguh melombong bauksit tapi tanah dikorek hingga ke malam

Oleh HUSIN MAHAT

Tempoh moratarium (penangguhan) baru perlombongan bauksit yang diumumkan kerajaan tidak membawa sebarang makna jika perlombongan bauksit secara haram tidak dibanteras dan stokpile bauksit sedia ada tidak menyusut.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh juga kesal kerana sepanjang 15 bulan tempoh moratarium dikuatkuasakan sebelum ini, jumlah stokpile di 12 lokasi tidak banyak menyusut sedangkan lori tidak henti-henti membawa bauksit dan berbaris di jalan raya.

Malah aktiviti mengorek bauksit, katanya berterusan hingga ke malam hari.

Fuziah mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kelmarin berhubung lanjutan moratorium ke atas industri bauksit selama tiga bulan bertujuan membersihkan 2.15 juta tan baki stokpile bauksit.

“Selama tempoh moratorium 15 bulan sebelum ini jumlah stokpile dari 12 lokasi hanya menyurut sebanyak 3.25 juta ton, sedangkan lori tidak henti-henti bawa bauksit dan sudah mula berbaris semula di jalan raya serta aktiviti mengorek bauksit berterusan di malam hari.

“Saya khuatir keadaan ini akan menjadi lebih gawat sekiranya pihak kerajaan negeri tidak mengambil tindakan,” kesal beliau.

Menurut Fuziah, walaupun menteri menjelaskan bahawa AP Khas adalah perlu untuk membersihkan stokpile namun kerajaan negeri Pahang tidak mengeluarkan garis panduan untuk memastikan lori-lori benar-benar membawa bauksit dari stokpile dan bukan bauksit dari perlombongan haram.

Penguatkuasaan dari kerajaan negeri juga dilihat tidak bersungguh-sungguh dan seolah-olah menutup sebelah mata dan menghalalkan aktiviti perlombongan bauksit.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, dan tidak ada tindakan intervensi dari kerajaan negeri Pahang, saya lihat lanjutan moratorium dengan AP khas untuk membersihkan stokpile ini  merupakan satu cara untuk menghalalkan aktiviti perlombongan bauksit haram, tidak lebih dari itu dan tidak ada kesungguhan untuk menggesa agenda pemulihan,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan AP khas perlombongan bauksit dibekukan dan mekanisme untuk membawa keluar 2.15 juta tan stokpile bauksit diwujudkan sebelum AP khas diberi semula.

“Ketatkan penguatkuasaan di atas prosedur baru tersebut kemudian barulah boleh dikeluarkan semula AP khas.

“Jangan perjudikan masa depan warga Kuantan. Keselamatan dan kesihatan kami lebih penting dari mengaut keuntungan dari industri bauksit yang tidak ada garis panduan yang sustainable,” tegasnya lagi.