Tangguh sidang Dewan Rakyat: Islamkah macam ini? soal Khalid

Tangguh sidang Dewan Rakyat: Islamkah macam ini? soal Khalid

Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berdegil tidak membenarkan usul persendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibahas mencetuskan bantahan pihak pembangkang.

Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) bangkit mempersoalkan keputusan Speaker menangguhkan sesi kali ini tanpa memberi ruang kepada ahli parlimen Pakatan Harapan berbahas.

“Dewan Rakyat apa macam ni? Memang Pas dengan Umno sajalah (bahas) hari ini. Tak berani beri kita hujah.

“Islamkah macam ini. Islamkah macam ini? Tak beri kita berhujah,” soal Khalid berulang kali diikuti sorakannya, ‘Malu’ yang turut diikuti beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah juga sebelum itu memohon Speaker untuk membuka ruang perbahasan tetapi permintaannya tidak dihiraukan.

“Tan Sri (Speaker) beri peluang kepada kami (pembangkang) berbahas. Saya menghormati hak dan kuasa Tan Sri,” rayunya berulang kali.

Speaker bagaimanapun berkata, ahli parlimen akan diberi peluang berbahas pada sesi akan datang yang dijadualkan berlangsung pada 24 Julai depan.    

“Saya sendiri guna kuasa saya kerana saya mengatur urusan mesyuarat. Ahli Berhormat akan dapat peluang bahas pada sesi akan datang. Tolong saya Yang Berhormat kerana saya telah membuat ketetapan,” ujarnya.

Rafizi Ramli (PKR-Pandan) kemudiannya berdiri mendesak Speaker memberi ruang kepada pihak Pakatan Harapan untuk menyatakan sekurang-kurangnya satu pendirian.

“Adalah sangat tidak adil membenarkan satu hari mendengar hujah di sebelah pihak tanpa memberi peluang kepada menjawab,” tegas Rafizi tetapi serentak kedengaran pekikan, “Shut up you!” daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau).

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR itu selanjutnya menggesa, “Paling kurang mesti ada satu jawapan daripada Pakatan Harapan. Paling kurang.”

Turut berulang kali berdiri memekik terhadap Ahli Parlimen Pakatan Harapan ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) manakala Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Bachok) sekadar mencelah, “Shah Alam kacau.”

TAGS