Malaysia Dateline

Tangguh sidang Parlimen kerana Covid-19, politik negara makin celaru

Penantian orang ramai untuk melihat kesudahan perang Parlimen esok berakhir apabila Setiausaha Dewan Rakyat telah memaklumkan yang persidangan ditangguhkan hingga ke satu tempoh diumumkan kemudian.

Pemakluman penangguhan itu menerusi sekeping surat yang sudah tersebar. Alasan penangguhan kerana Covid-19.

Penangguhan itu dilihat tidak munasabah dan bermotif politik untuk tidak meneruskan “perang” dalam Parlimen.

Perang itu sudah menggoyahkan kedudukan Mahiaddin Md Yassin, mengaibkan Takiyuddin Hassan dan menjadikan Speaker Azhar Azizan, adik Idrus Harun sudah jadi macam guni beras terendam air koyak rabak.

Maka dengan penangguhan itu orang menunggu apakah yang akan jadi seterusnya. Pembangkang bertekad untuk tetap hadir ke Parlimen esok. Kehadiran itu tidak memberi apa-apa signifikan bagi saya, melainkan setakat bergambar kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam lumat Mahiaddin Yassin.

Jika tidak kena cara mungkin mereka akan dihalang di pintu masuk Parlimen oleh polis yang mula berkhemah sejak Subuh esok? PDRM tentu sudah siap sedia.

Apapun keadaan politik negara makin celaru dan haru-biru. Di sini, sekali lagi rakyat dan negara akan tertumpu kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Baginda sahaja dapat merumus dan menyimpulkan serta mencari solusi untuk menamatkan kemelut berlangsung sekarang.

Mahiaddin dan seluruh jemaah Kabinetnya sudah tidak dihormati dan dipercayai lagi. Kalau mereka wujud pun ia seada-adanya sahaja tanpa membawa apa-apa erti lagi.
Apakah Yang di-Pertuan Agong akan memanggil Raja-Raja untuk berjumpa bagi “berjemak berkira” untuk menentukan keadaan? Jika itu perlu, lakukan, jangan biarkan negara dan perasaan rakyat lumpuh dengan keadaan yang berlaku.

Usah jadikan negara dalam kesesatan dan kegelapan seolah-olah ia diperintah dan dipimpin oleh mereka yang sudah ditutup pintu hati oleh Tuhan.