Malaysia Dateline

Tangguh sidang parlimen: Muhyiddin derhaka titah Agong?

Sudah seminggu lebih selepas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Ini adalah hasil desakan pelbagai pihak termasuk Pakatan Harapan yang inginkan persidangan Parlimen walaupun negara sedang berada dalam keadaan daruat.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara ini diterima baik oleh pelbagai pihak kerana ramai yang beranggapan bahawa Parlimen seharusnya dibenarkan bersidang walaupun ketika darurat.

Sebenarnya tiada alasan untuk menyekat persidangan Parlimen, kerana banyak juga negara lain yang mengisytiharkan darurat tetapi mereka tidak menggantung Kongres seperti di USA dan Parlimen di UK.

Bahkan pada hari ini, ada negara yang mengadakan persidangan secara atas talian. Tetapi persoalannya, mengapa Parlimen Malaysia masih digantung walaupun rata-rata ahli parlimen telah menerima suntikan vaksin?

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, keengganan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang Parlimen boleh dianggap satu penderhakaan kepada YDPA walaupun darurat sedang berkuatkuasa.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin masih tidak memberi maklum balas terhadap titah Agong boleh diadakan sidang Parlimen.

“Bagi saya ini macam ingkar dan boleh dianggap sebagai satu penderhakaan kepada Agong.

“Bila Agong telah menitah bahawa Parlimen boleh bersidang dengan prosedur operasi standard (SOP), Tan Sri Muhyiddin kena menghadap Agong untuk beri cadangan tarikh sidang Parlimen perlu diadakan,” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette.

Terbaharu, Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya berkata, Kabinet tidak akan menasihati Agong untuk membenarkan Parlimen bersidang semula ketika tempoh darurat berlangsung sehingga 1 Ogos, walaupun YDPA pada minggu lalu mengatakan bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam tempoh berkenaan.

Antara alasan yang diberikan termasuklah undang-undang tidak perlu diluluskan Parlimen sewaktu darurat berkuatkuasa, dan ramainya Ahli Parlimen yang berisiko tinggi menjangkiti Covid-19 sekiranya Parlimen bersidang.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan dalam kenyataan mereka baru-baru ini menyatakan kekesalan dengan alasan-alasan yang diberikan Takiyuddun.

“Kesemua alasan yang diberi adalah lemah, dangkal dan tidak menghormati titah nasihat Seri Paduaka Baginda pada 24 Februari lalu yang menyatakan Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuatkuasa,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menjelaskan mengapa Parlimen perlu bersidang segera termasuklah masalah seperti kekeliruan SOP Covid-19, kemarahan rakyat tentang isu “antara dua darjat” dalam penguatkuasaan dan bantuan kerajaan yang tidak sampai atau tidak mencukupi.

Perkara ini turut diasak oleh Pemuda Umno yang berpendapat bahawa Kerjaan Perikatan Nasional tidak boleh dilihat takut atau mahu memandulkan institusi demokrasi negara.

“Kerajaan tidak seharusnya dilihat takut dan cuba untuk memandulkan institusi demokrasi dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada ahli-ahli parlimen untuk berbahas dan membawa isu dan masalah mereka di Parlimen,” kata Ketua Pemuda Umno Malaysia, Asyraf Wajdi Dusuki.

Kesimpulannya, tindakan Muhyiddin yang enggan membenarkan persidangan Parlimen telah menghina amalan demokrasi negara dan membuktikan bahawa beliau sebenarnya takut kehilangan kuasa dan lebih mementingkan kedudukannya daripada kesejahteraan rakyat.