Malaysia Dateline

Tangguh undi 18, pengkhianat terhadap orang muda

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia yang menangguhkan pelaksanaan umur layak mengundi 18 tahun dianggap sebagai satu bentuk pencabulan terhadap demokrasi negara.

Ketua Pemuda Harapan Terengganu, Hasbie Muda berkata, sejarah akan mengenang kerajaan hari ini sebagai pengkhianat kepada orang muda.

“Rakyat Malaysia pada waktu 10 hingga 20 tahun akan datang, sikap ini akan dilihat cukup jijik dan bacul dalam berdepan orang muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasbie menegaskan, negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia, telah pun menurunkan had umur mengundi kepada 18 sejak tahun 70an lagi.

Namun kini katanya, yang tinggal pada peraturan lapuk ini hanyalah Malaysia, Tonga, Samoa dan beberapa negara lain.

“Usaha kerajaan Pakatan Harapan bagi membawa demokrasi di Malaysia seiring dengan negara maju dan membangun telah dikhianati oleh kerajaan tebuk atap, yang bukan sahaja membunuh demokrasi berparlimen, tetapi menafikan hak demokrasi orang muda,” katanya.

Terdahulu, lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang berusia di antara 18 dan 21 tahun dijangka tidak akan dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, selepas SPR menjangkakan ianya mampu dilaksanakan pada 1 September 2022

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata bahawa proses persiapan untuk membolehkan golongan tersebut mengundi telah tergendala akibat pandemik Covid-19 dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).