Malaysia Dateline

Tangguh undi 18 satu penindasan suara anak muda

Penangguhan pendaftaran pemilih automatik dan penurunan had kelayakan umur mengundi 18 tahun, diselar sebagai satu tindakan mahu mendiamkan suara anak muda.

Pengerusi Eksekutif Wisdom Foundation, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, Malaysia adalah antara negara-negara kecil di dunia yang belum meminda rang undang-undang tersebut bagi membenarkan anak muda berumur 18 tahun mengundi dalam pilihan raya.

Beliau berkata, banyak keraguan yang dilemparkan terhadap anak muda sedangkan kehidupan realiti menunjukkan mereka yang berusia 18 tahun berkemampuan menjadi dewasa yang bertanggungjawab.

“Misalnya mereka dibenarkan memiliki lesen memandu, berkahwin, bekerja dan membayar cukai, memasuki kewajipan kontrak, atau menjalani pekerjaan berisiko tinggi seperti pasukan polisi dan tentera.

“Alasan bahawa tidak cukup tempoh untuk membuat persediaan kerana pandemik Covid-19 tidak boleh diterima.

“Pandemik Covid-19 mungkin menyebabkan pergerakan fizikal terbatas, namun dunia teknologi telah berkembang dengan pesat ketika masyarakat terpaksa beralih ke era digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkembangan teknologi yang hebat sepatutnya dapat menyokong transformasi Undi 18 pada kadar yang lebih pantas.

Justeru katanya, tindakan menangguhkan pelaksanaan RUU Undi 18 adalah satu bentuk penindasan pengundian

“Jawatankuasa Pemilihan mesti menyedari kekuatan dan hak rakyat, terutamanya hak-hak pemuda untuk menjadi pemimpin.

“Kegagalan untuk berbuat demikian menggambarkan hilangnya perhatian terhadap demokrasi yang dijunjung dan ditunjukkan oleh Malaysia,” katanya lagi.