Malaysia Dateline

Tangguh Undi 18, SPR boleh dicabar di mahkamah, kata Pemuda Umno

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menangguhkan pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 tahun sehingga September 2022, boleh dicabar di mahkamah.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Muhammad Nur Aizat Noor Azam berkata, ini kerana rakyat Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun mempunyai hak untuk mengundi yang mana telah pun disokong dan disahkan oleh badan perundangan negara.

Jelasnya, keputusan SPR nyata sekali bercanggah dan inkonsisten dengan Perlembagaan Persekutuan, antara lainnya, hak asas yang telah pun diberikan kepada rakyat berumur 18 tahun.
“Tambahan, SPR wajib memberi penjelasan sama ada keputusan tersebut dibuat selepas perundingan dengan Kabinet (atau tidak).

“Sekiranya ya, Perdana Menteri harus menjelaskan perkara ini kepada seluruh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak dakwaan terhadap kepercayaan yang dimiliki oleh PM di Parlimen.

“Sekiranya SPR dan PM tidak memberikan penjelasan tersebut, keputusan tersebut seolah-olah dibuat bagi mengelakkan (‘circumvent’) pengundi 18 tagun daripada menjalankan hak mengundi mereka yang mana adalah tidak berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nur Aizat yang juga seorang peguam itu turut menggesa agar SPR menarik balik atau mempertimbangkan semula keputusan tersebut dengan segera dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan bakal pengundi berumur 18 tahun boleh mengundi pada pilihan raya yang akan datang.

Sekiranya SPR enggan berbuat demikian tanpa memberikan sebarang penjelasan yang kukuh dan telus, beliau mengatakan bahawa SPR perlu bersedia untuk diheret ke Mahkamah.