Malaysia Dateline

Tangguh Undi18 rendahkan pemikiran anak muda

Penangguhan pelaksanaan undi 18 oleh kerajaan PN seolah-olah merendahkan tahap pemikiran orang muda kini yang semakin matang dengan isu semasa hasil kemudahan internet dan media sosial.

Malah ia, menjadi kebimbangan kepada kerajaan PN kerana adalah dijangkakan terdapat sebanyak 3.8 juta pengundi baharu sekiranya undi 18 dilaksanakan.

Menurut Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil, pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun telah dibuat dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat termasuk semua blok parti politik, blok kerajaan dan pembangkang.

“Dalam lain erti kata, kelulusan pindaan Perlembagaan tersebut merupakan satu anjakan dalam amalan demokrasi di negara ini dalam mematangkan rakyat khususnya hak-hak asasi yang diberikan Perlembagaan Persekutuan.

“PH yang membawa cadangan pindaan Perlembagaan bersikap ‘walk the talk’ dengan tuntutan pindaan ini dilaksanakan sekarang, manakala rakyat terutamanya orang muda harus konsisten menuntut pelaksanaan undi 18 tersebut.

“Apabila orang muda didedahkan dalam tempoh awal tentang hak ini, kematangan mereka akan dibina lebih awal dan mereka diberikan pendedahan tentang pentingnya peranan dalam tatakelola pentadbiran negara kerana lumrahnya dasar kerajaan akan memberi impak kepada kehidupan orang muda dan golongan tersebut perlu diberi peluang bagi menentukan siapakah pembuat dasar bagi kehidupan mereka, ” ujar beliau.

Maka itu, tambah Faiz, kerajaan PN dituntut supaya menunaikan janji undi 18 kerana kegagalan ‘walk the talk’ sudah pasti akan ditolak pengundi dalam pilihan raya umum ke 15 dan memberi ruang yang lebih besar kepada PH yang telah terbukti menjadi pilihan atas kejayaan 22 bulan pemerintahan.