Malaysia Dateline

Tangguh vaksin fasa 3 bakal undang masalah besar, kata Kit Siang

Kelewatan negara memulakan fasa 3 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bakal meletakkan Malaysia dalam bencana besar di sebalik usaha semua pihak untuk melawan pandemik Covid-19.

Ini susulan kenyataan Menteri Penyelarasan Vaksinasi, Khairy Jamaluddin bahawa fasa 3 PICK yang sepatutnya bermula pada Mei mungkin ditangguhkan berikutan kekurangan bekalan vaksin.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, menjelang akhir bulan ini, Malaysia akan mencapai angka setengah juta bagi kumulatif kes Covid-19, sekaligus mengatasi Arab Saudi yang kini merekodkan 422,316 kes; Malaysia (424,376 kes).

“Ini adalah kedudukan dan rekod dunia yang tidak boleh dibanggakan oleh Malaysia.

“Pengumuman Khairy pula ibarat menambah garam ke luka. Ini akan menjadi masalah besar terhadap usaha Malaysia untuk melawan pandemik Covid-19.

“Sekarang pun, program PICK masih pada tahap yang rendah dan perlahan, kurang dari lima peratus populasi negara ini telah diberikan vaksin (1.8 peratus telah divaksin sepenuhnya sementara 2.9 peratus diberikan satu dos vaksin),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Khairy berkata bekalan vaksin mungkin tidak cukup untuk memulakan Fasa 3 program PICK pada Mei seperti dirancang dan sebahagian besarnya akan bergantung pada bekalan vaksin sedia ada.

Dalam pada itu Kit Siang berkata, sasaran Khairy untuk mencapai imuniti kelompok pada Julai 2022 iaitu selama 18 bulan bermula Februari 2021, nampaknya telah tersasar.

Beliau turut bertanya adakah Malaysia akan menjadi ‘mini India’ di Asean.

India telah mencatatkan 413,618 kes Covid-19 baru setakat semalam, dan dalam 15 hari terakhir sejak memecahkan angka 300,00 untuk kes harian baru pada 21 April, negara itu telah mengumpulkan lebih lima juta kes Covid-19.

“Ini adalah persoalan yang tidak dapat dijawab oleh kerajaan Muhyiddin dan dengan Parlimen yang digantung sejak 12 Januari 2021, persoalan ini akan terus tidak terjawab,” katanya lagi.