Malaysia Dateline

Tangguhkan kenaikan tarif elektrik

Tarif elektrik dijangkakan akan naik mulai 1 Julai. Tenaga Nasional Berhad (TNB), sepertimana syarikat tenaga yang lain di seluruh dunia sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117% sejak akhir tahun lalu.

Namun, kenaikan tarif elektrik ketika pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar.

Malah, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan turut ditanggung pengguna.

TNB sebagai sebuah GLC gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 bilion pastinya mampu untuk menyerap impak kenaikan kos bahan api dan kos operasi mereka.

Buktinya, walaupun kos bahan api meningkat sebanyak 26% sepanjang tahun 2021, keuntungan operasi TNB telah meningkat sebanyak 10% (RM742 juta) untuk tahun tersebut.

Justeru, demi melindungi pengguna, saya menuntut kerajaan untuk menangguhkan apa-apa bentuk kenaikan tarif elektrik sekurang-kurangnya sehingga krisis kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan pulih kembali.

Pengumuman tambahan Bantuan Keluarga Malaysia sebanyak RM100 dan RM50 hari ini juga akan terbukti sia-sia dan gagal membantu rakyat marhaen sekiranya kadar inflasi terus meningkat akibat kenaikan tarif elektrik sama ada untuk pengguna komersial apatah lagi untuk pengguna domestik.

*DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram.

Baca juga ‘Mansuhkan’ terus 70 menteri tak guna, rakyat Malaysia berang minyak sawit tiada subsidi

Baca juga Wanita sebak lihat budak darjah 6 ponteng sekolah sebab nak bantu keluarga