Malaysia Dateline

Tangguhkan kongres Jawi, bincang dan bawa ke meja rundingan, gesa Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa supaya pihak terbabit tidak meneruskan kongres menentang pembelajaran Jawi sebaliknya berbincang dan kembali ke meja rundingan.

Kata beliau, isu tulisan Jawi tidak kunjung reda walaupun bantahan dibuat oleh Gerakan di Mahkamah ditolak dan Mahkamah menetapkan keputusan bahawa mengajar Jawi tidak bercanggah secara perlembagaan.

“Setiap kita akan tertanya mengapakah ada pihak yang tetap berkeras untuk memanjangkan isu tulisan Jawi melalui bantahan berterusan?

“Logik pembelajaran Jawi tersebut yang dikatakan ‘mahu mengislamkan pelajar bukan Islam sangat terhad sekadar untuk memperkenalkan warisan budaya dan sejarah negara. Mengapakah Jawi dijadikan masalah negara?” kata Naib Presiden AMANAH itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, pihak yang menentang sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan menghormati sentimen kerana tindakan mengadakan bantahan melalui kongres dan sebagainya akan mendapat reaksi negatif daripada yang menyokongnya.

“Atas reaksi spontan yang lebih memudaratkan inilah maka satu keputusan penuh berhikmah perlu dibuat.

“Eloklah dibawa bincang dan kembali ke meja rundingan. Saya menggesa pihak yang mahu meneruskan kongres ini agar menangguhkan dahulu bagi memberi ruang berdialog untuk mencari titik persetujuan bersama.

“Semua kita perlu mengambil tanggungjawab untuk mencapai kata persetujuan demi kepentingan negara,” tambahnya.

Sebelum ini, kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jia Zong mengumumkan akan mengadakan kongres anti Jawi yang dijadualkan pada 28 Disember ini.

Hasrat Dong Zong dan Jia Zong itu walau bagaimanapun mendapat bantahan dan kecaman daripada pelbagai pihak.