Malaysia Dateline

Tangguhkan Undi18 burukkan nama negara

Jangan main-main dengan institusi Parlimen yang telah membuat ketetapan dan memberikan hak mengundi kepada anak muda berumur 18 sehingga 20 tahun.

Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee Chuan How berkata, isu ini membawa fitnah serta memburukkan nama negara apabila hak mengundi kepada anak muda berumur 18 tahun ke atas, ditidakkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Lily, Shakir dan Howard kesal dengan penangguhan Undi18.

Isu Undi 18 ini turut mendapat perhatian anak muda dalam DAP yang lain seperti Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Muhammad Shakir Ameer Mohideen dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Nor Zulaila Abd Ghani.

Shakir berpendapat, kelewatan pelaksanaan Undi 18 ini adalah taktik kerajaan pintu belakang PN yang takut akan kehilangan mandat rakyat.

Apatah lagi katanya, golongan muda kini dilihat lebih cenderung melawan arus dan tidak mempedulikan sentimen perkauman yang dibawa oleh parti Bersatu, Umno dan Pas.

Nor Zulaila atau lebih mesra dipanggil Lily pula berpendapat, anak muda berumur 18 tahun dan ke atas seharusnya diberikan hak untuk mengundi.

Katanya, pada umur 18, mereka telah diberikan hak yang pelbagai seperti dalam perkahwinan, penyertaan parti politik, mendapatkan lesen memandu, boleh dihukum sebagai penjenayah cukup umur jika melakukan kesalahan, menandatangani kontrak dan sebagainya.

“Dengan melengahkan pelaksanaan Undi 18 atas alasan mereka belum bersedia dan tidak cukup matang untuk menentukan masa depan negara, ia adalah satu pukulan terhadap hak – hak lain yang diberi kepada mereka.

“Pihak-pihak tertentu seolah-olah takut akan kebangkitan anak muda dan sengaja melewatkan pelaksanaan Undi 18,” katanya.

Tambah Lily lagi, anak muda inilah rata-ratanya merupakan golongan yang paling terkesan dengan situasi politik dan ekonomi tidak stabil hari ini.

“Namun melihat kepada sikap pihak bertanggungjawab dalam isu ini, saya merasakan tidak mustahil perancangan menurunkan had umur mengundi ini akan ditunda berkali-kali dengan pelbagai alasan lain,” ulasnya.

Menurut Shakir, alasan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa remaja berumur 18 tahun tidak matang untuk mengundi adalah tidak munasabah.

“Ini merupakan pandangan ahli politik yang hanya mahu menjual agama untuk kepentingan politik diri sendiri, lebih-lebih lagi mereka risau anak muda akan menolak politik agama dan perkauman,” tegasnya.

Lily pula beranggapan, mereka yang mengatakan umur 18 tahun tidak matang adalah satu prejudis kepada anak muda kerana kematangan tidak diukur dengan usia seseorang.

“Beberapa kali ketika kaunter pendaftaran pemilih diadakan, saya sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) telah menerima banyak pertanyaan dari remaja berumur 18 tahun dan mereka yang dibawah 21 tahun, sama ada mereka sudah boleh mendaftar sebagai pemilih atau tidak?

“Ini menunjukkan bahawa mereka sedar bahawa mengundi akan memberi kesan pada mereka, lalu mereka mahu mengundi, mereka mahu menjalankan tanggungjawab terhadap negara dan menentukan masa depan negara bersama,” kata Lily lagi.