Tanggung 2 anak seorang diri, Rita Rudaini kongsi keluarkan semua simpanan masa PKP

Oleh MAISARAH AISYA

Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak hidup susah sehingga sanggup melakukan pelbagai kerja demi memberikan kehidupan terbaik.

Namun tidak semua diberikan jodoh berpanjangan maka bermulah hidup sebagai ibu atau bapa tunggal.

Pernah berkahwin dengan pemain bola sepak sebelum bercerai pada tahun 2013, pelakon Rita Rudaini berkongsi kisahnya menerusi Instagram.

Sebelum dikurniakan dua anak lelaki, Rita mengakui terlalu sibuk bekerja kerana bosan tinggal seorang diri di rumah namun semuanya berubah selepas kehadiran dua cahaya mata.

Selepas mempunyai anak, Rita membahagikan masa agar dapat meluangkan waktu bersama anak-anaknya malah menolak mengambil kerja di luar negeri.

Tambahnya dia juga menjaga anak-anaknya sendiri tanpa bantuan bekas suami selepas lima tahun hidup bersama.

“Ya saya seorang yang tanggung mereka, segala-galanya. Pedih, suka, duka saya rempuh sahaja. Tiga tahun hilang pekerjaan disebabkan PKP, malah tak dibenarkan kerja sebab tiada vaksin.

“Macam mana saya boleh teruskan kehidupan, saya keluarkan semua simpanan dan berdoa agar Allah permudahkan urusan.

“Segalanya yang terbaik buat anak-anak. Saya sanggup korbankan hidup, keinginan demi anak-anak,” ujarnya dalam hantaran di Instagram.

Bagi Rita dia sanggup bersusah payah demi memberikan kehidupan terbaik buat dua anaknya hingga sanggup menghantar mereka ke sekolah swasta.

Tak terluah rasa penat

“Ibu tunggal macam saya ini tak tahulah bila kali terakhir perkataan ‘penat dan letih’ keluar dari mulut, bila terakhir kali menangis kepenatan.

“Saya tak sempat nak melayan perasaan itu sebab terleka dengan figura dua anak kecil yang semakin membujang di depan mata saya.

“Saya percaya setiap ibu atau bapa tunggal di luar sana ada kisah sama macam saya atau kisah tersendiri menjaga anak-anak.

“Doakan mommy sentiasa, tak apa hidup seorang asalkan kamu berdua sentiasa ada. Melihat kamu membesar depan mata dah cukup membahagiakan,” tambahnya.

Baca juga: Terkedu tengok baki duit dalam bank warga asing cecah RM300k, rasa macam merempat pula di negara sendiri