Malaysia Dateline

Tanggungjawab dilaksana termasuk di negeri pembangkang

“Dalam tempoh setahun Malaysia Baharu ini, saya percaya pencapaian yang telah ditunjukkan oleh kebanyakan kementerian, dalam kedudukan ekonomi serta fiskal negara yang sangat mencabar ini, bergerak dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, amat membanggakan.”

Demikian ungkapan mukadimah Timbalan Menteri Kerja Raya, Haji Mohd Anuar Tahir sewaktu ditemubual pada majlis Berbuka Puasa Parti AMANAH baru-baru ini.

Bercakap mengenai kementerian beliau, Anuar berkata, Kementerian Kerja Raya yang mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan infrastruktur negara seperti jalan raya, lebuh raya, berada dalam keadaan baik, telah pun dilaksanakan dengan sangat baik.

Bahkan sangat membanggkan kata beliau, kesemua itu berjaya dilaksanakan melalui peruntukan yang sangat rendah.

“Kami memperolehi tidak sampai 50 peratus daripada bajet tahun lepas, tapi kami masih dapat melaksanakan program-program seperti melaksanakan kerja-kerja turapan, membaiki jalan raya yang rosak umpamanya dengan jayanya, tanpa mengira kawasan dan juga negeri.

Jelas Anuar, dalam melaksanakan tanggungjawab, kementerian beliau memberikan perhatian yang sama, termasuk kepada negeri-negeri pembangkang di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan dan juga negeri Perlis di bahagian utara Semenanjung.

“Biarpun negeri-negeri ini tidak sehaluan dengan Putrajaya dan Persekutuan, tetapi mereka itu kami berikan layanan yang sama. Malah, banyak daripada program-program pembaikan itu dilaksanakan di negeri-negeri tersebut,” kata beliau.

Di Kelantan kata Anuar, pihak kementerian kini sedang berusaha menyiapkan projek Central Spine Road (CSR), dan berhubung projek Lebuhraya Rakyat yang nampaknya gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri, pihaknya sedang berunding untuk membantu dan mengambil alih projek berkenaan.

“Setakat ini kami sedang menunggu kata putus kerajaan negeri,” katanya berhubung projek Lebuhraya Rakyat itu.

Negeri pertama dilawati

Mengenai Terengganu kata Anuar, ia merupakan negeri pertama beliau lawati selepas dilantik menjadi Timbalan Menteri Kerja Raya dalam kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya turun ke sana apabila mendengar terdapat masalah yang dihadapi di sana yang membuatkan projek Kuala Terengganu Bypass gagal dimulakan,” katanya.

Projek berkenaan katanya sangat penting kerana ia mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di Kuala Terengganu tetapi projek berkenaan berhadapan dengan masalah penduduk yang enggan berpindah serta jumlah pampasan yang ditawarkan, katanya.

Pihak kementerian serta kerajaan negeri ujar beliau, akan berusaha mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini dan merialisasikan projek berkenaan agar ia memberikan kemudahan kepada rakyat negeri berkenaan.

Selain inisiatif dan pencapaian yang telah disebutkan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian baru-baru ini, buat masa ini ujar Anuar, Kementerian Kerja Raya sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melaksanakan program rumah mampu milik.

Katanya, seluruh kepakaran yang dimiliki Kementerian Kerja Raya menerusi CIDB dan juga menerusi badan penyelidikan di bawah kementerian, telah digunakan dan dalam tahun pertama ini, telah berjaya mendirikan 160,000 buah rumah mampu milik buat rakyat negara ini.

Pembinaan rumah mampu milik berkenaan jelas Anuar, tidak tertumpu di satu kawasan sahaja, malah termasuk di negeri pembangkang juga.

Dalam tempoh 10 tahun, atau mungkin lebih singkat daripada itu sambungnya, disasarkan 1 juta buah rumah mampu milik akan didirikan.

Untuk tahun-tahun akan datang, sekiranya memperolehi bajet yang mencukupi, kementerian akan melaksanakan program naik
taraf infrastruktur seperti jalanraya dan jambatan.

Beliau yakin, buat masa ini kementerian beliau berada di atas landasan yang betul dan berupaya menggunakan kemampuan yang ada.

Kerjasama yang diberikan oleh pegawai-pegawai, penjawat awam di bawah kementerian khususnya golongan profesional seperti jurutera, juruukur, arkitek semuanya sangat baik, katanya.

Semua agensi di bawah kementerian pula, seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), CIDB, Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Juruukur Malaysia dan Lembaga Arkitek Malaysia telah memberikan sumbangan serta sumbangan yang baik.

“Semua itu telah memudahkan kami melaksanakan tanggungjawab kami,” katanya mengakhiri bualan.