Malaysia Dateline

Tanggungjawab kritikal, penting jentera kempen AMANAH di Tanjung Piai

Dua tonggak utama AMANAH, Presiden Mohamad Sabu dan timbalannya, Salahuddin Ayub, hadir semasa penamaan calon PRK Tanjung Piai

Parti Amanah Negara (AMANAH) memang tidak bertanding dalam PRK Tanjung Piai, tetapi komitmen para pemimpinnya untuk memenangkan calon Pakatan Harapan (daripada Bersatu) begitu tinggi sekali.

Pemerhati politik melihat kesungguhan jentera AMANAH menggerakkan kempen di wilayah paling selatan daratan benua Asia seperti parti Islam yang inklusif dan progresif itu sendiri yang bertanding.

Kebetulan pula, Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berasal dari situ, Kampung Sarkat, menjadikan kehadiran AMANAH lebih dirasai di samping memudahkan lagi penyusunan gerak kerja kempen khususnya dalam Dun Kukup.

Pada PRU14, Mei 2018, AMANAH dipilih mewakili PH bagi kerusi Kukup, satu daripada dua Dun di bawah Parlimen Tanjung Piai. Calonnya, Suhaizan Kayat, Naib Pengerusi AMANAH Johor kalah tipis, ketinggalan sekitar 800 undi berbanding calon Umno-BN. Manakala satu lagi kerusi, Dun Pekan Nanas, dimenangi wakil DAP.

Di kerusi parlimen bersebelahan yang berjiran, iaitu Pontian, AMANAH juga terpilih sebagai calon kerusi Dun Pulai Sebatang dan menang pada PRU lalu.

Ketua Pemuda, Muhammad Taqiuddin Cheman mengalahkan calon BN dengan majoriti lebih kurang 3,400 undi. Parlimen Pontian dan Tanjung Piai terletak di bawah pentadbiran majlis daerah yang sama, Pontian.

Salahuddin Ayub, Khalid Samad dan pimpinan PH bersama calon PH, Karmaine Sarbini di hari penamaan calon PRK Tanjung Piai.

Johor sememangnya dikenali sejak merdeka sebagai negeri kubu kuat Umno. Ia lahir di sini dan menjadi tiang seri parti tersebut, juga melahirkan ramai pemimpin negara. Satu waktu dahulu, pengaruh pembangkang, khususnya Pas hampir tidak terasa. Di peringkat awal, hampir semua calon Pas hilang wang pertaruhan. Bekas timbalan presidennya, Mohamad Sabu selalu berseloroh: “Di Johor, kita boleh berkenduri potong lembu, bukan kerana merayakan kemenangan dalam pilihan raya, tetapi kerana calon Pas tak hilang deposit.”

Pas mula bertapak dalam sidang Dun Johor dengan “kemenangan percuma” ekoran kesilapan teknikal calon BN di Senggarang pada 2004. Pada 2008, wakil Pas bertambah dua kali ganda, kepada dua kerusi, Maharani dan Sungai Abong; seterusnya naik 100 peratus dalam PRU2013, menjadi empat wakil, iaitu bertambah dua kerusi baharu, Pasir Yaani dan Puteri Wangsa.

Apabila Pas berdepan krisis dalaman yang membahagi dua parti, sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara pada 2015, Johor merupakan negeri paling subur untuk parti Islam progresif itu. Sebahagian besar pimpinan kawasan Pas, termasuk ramai yang dipertua kawasan, menyertai AMANAH. Boleh dikatakan Pas hampir lumpuh waktu itu.

Khususnya di Pontian dan Tanjung Piai, dua kawasan berjiran, sambutan terhadap AMANAH cukup menggalakkan, termasuk daripada kalangan bukan Muslim. Ketua Pas dua kawasan berkenaan kini menjadi ketua AMANAH kawasan yang sama.

Suka diingatkan, dalam PRU14, 18 bulan yang lalu, daripada 12 kerusi Dun yang ditandingi AMANAH Johor, sembilan menang. Bersatu mempunyai lapan Adun, sebelum bertambah tiga lagi susulan wakil rakyat Umno menyertainya. Bermakna, AMANAH menghantar Adun Melayu-Muslim yang paling ramai antara parti-parti PH.

Sementara itu perkembangan positif Pas di Johor sejak awal tahun 2000-an tersekat apabila AMANAH ditubuhkan. Pimpinan AMANAH cukup menghormati konsensus dan muafakat politik Pakatan Harapan (PH). Misalnya, meskipun hanya diperuntukkan dua kerusi Parlimen di Johor (berbanding 26 kerusi), yakni tidak pun sampai sepuluh peratus, AMANAH menerimanya dengan berlapang dada.

PRK Tanjung Piai sekadar bukti berterusan komitmen AMANAH untuk terus bekerja gigih dan sistematik bagi mempertahankan kemenangan PH melalui calon Bersatu. Terutama menjadi cabaran besarnya bagi mengalih sokongan pengundi Pas dahulu, sekitar 3000 orang. PRK kali ini merupakan gelanggang pertama menguji keberkesanan kerjasama politik secara rasmi di antara Umno-Pas, September lalu. Di atas kertas, sifir politiknya, jika pola pengundian tidak berubah, muafakat dua parti Melayu itu bakal menyumbang kemenangan kepada calon MCA, 16 November ini. Majoriti kemenangan PH dahulu hanya sekitar 500 undi, sedangkan undi Pas hampir 3000 undi.

Pengundi Muslim Tanjung Piai dapat melihat dengan jelas sikap dan pendirian politik Pas yang mudah berubah-ubah bergantung keuntungan jangka pendek parti tersebut. “Fatwa” pemimpin utamanya, konon disandarkan kepada tuntutan Islam, juga boleh disesuaikan dengan situasi politik semasa.

Ketika seteru ketatnya, AMANAH dituduh sebagai khadam DAP (yang digambarkan musuh ketat Islam dan penguasa sebenar Putrajaya), Pas boleh menyokong penuh calon MCA di Tanjung Piai. Bukan isu bersama calon bukan Islam tetapi hipokrasi Pas mempermainkan “hujah agama” bagi mengesahkan sikap politiknya.

Kita pun keliru, apa sudah jadi dengan blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang diterajui Pas, bersama parti-parti kecil lain, Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia. Berjasa turut menghantar presidennya sebagai calon dalam PRK ini. Malah Setiausaha Agung Pas memberi jaminan, tiada satu undi pun daripada penyokongnya akan diberikan kepada calon Berjasa kerana semuanya dikerah mengundi calon MCA.

Calon-calon yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai.

Penyokong Pas hanya merupakan juzuk kecil keseluruhan pengundi Tanjung Piai yang rencam itu. Tanggungjawab penggerak AMANAH tentunya untuk menyantuni kelompok pengundi lebih besar dan menyeluruh, termasuk masyarakat Tionghua di sana. Bagaimanapun, audien Pas perlu diberi perhatian khusus. Pengalaman memahami kompleksiti ragam penyokong Pas boleh dimanfaatkan dengan baik oleh jentera kempen AMANAH.

AMANAH juga dilihat lebih mampu mematahkan “daleh agama” yang selalu dimanipulasi Pas untuk kepentingan politiknya. Ia bukan terhad kepada keperluan PRK ini sahaja, tetapi misi lebih penting adalah demi kesejahteraan ummah seluruhnya daripada terus dipermainkan oleh sentimen keagamaan yang sempit.

Ada pendapat yang merasakan undi orang Cina kepada PH sudah sampai “siling” dan mungkin juga akan merosot kali ini, antara lain disebabkan faktor pengundi luar yang tidak balik 16 November nanti. Justeru, kadar sokongan pengundi Melayu harus ditingkatkan lagi beberapa peratus berbanding PRU2018. Maka AMANAH dan Bersatu harus melipat-gandakan usaha terutama bagi menjernihkan persepsi mereka terhadap kerajaan PH.