Malaysia Dateline

Tangkap ketua kartel jika benar Hamzah mahu tangani masalah Pati

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sepatutnya menangkap ketua-ketua kartel yang membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) masuk ke dalam negara, sekiranya benar beliau ingin menangani masalah isu Pati.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, langkah berkenaan adalah lebih wajar berbanding mengeluarkan kenyataan yang hanya memundurkan usaha pihak berwajib dalam mencapai imuniti kelompok.

Ini susulan tindakan kerajaan dan KDN yang menyatakan pengagihan vaksin hanya akan diberikan setelah kumpulan Pati ini menyerah diri.

“Kenyataan Hamzah yang seolah-olah berunsur xenofobik ini akan hanya mengeruhkan lagi keadaan Covid-19 di Malaysia.

“Adakah Hamzah lupa bahawa kali terakhir kenyataan seperti itu keluar, kebanyakan dari mereka sedaya upaya untuk melarikan diri dari pihak berkuasa.

“Malah, apabila ada daripada mereka dijangkiti Covid-19, petugas kesihatan menghadapi kesukaran untuk mencari dan merawat mereka kerana kumpulan itu tidak mahu bertemu dengan sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Lim berkata kerajaan perlu memahami bahawa terdapat lebih kurang dua juta pekerja asing yang berdaftar dengan pihak berwajib di Malaysia, dan dianggarkan terdapat 4 juta yang tidak berdaftar.

Kebanyakan dari mereka juga berada di kawasan-kawasan berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

Lim berkata, apa yang lebih merisaukan adalah dua kawasan ini adalah antara kawasan yang sentiasa tinggi bilangan kes positif Covid-19.

Justeru katanya, sekiranya kerajaan mahu mencapai sasaran imuniti kelompok, fokus mereka adalah untuk mevaksinkan mereka, dan bukan menafikan.

“Jikalau benar-benar ingin mendepani masalah Pati, ketatkan sempadan negara serta bersihkan agensi penguatkuasa dari pegawai-pegawai yang mengambil rasuah dan melibatkan diri mereka dengan urusan kemasukan warga asing ke negara ini,” katanya lagi.