Tangkap KSU, tetapi apa berlaku kepada kes SRC, soal Tuan Ibrahim

Bagi Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, penahanan seorang Ketua Setiausaha kementerian tidak dapat mengalihkan pandangan kekecewaan ‘persaraan awal’ bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zain.

Malah beliau menimbulkan persoalan, kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  dapat bertindak kepada pejawat awam tetapi tidak kepada ahli-ahli politik.

Menurut Tuan Ibrahim, penahanan KSU ini sebenarnya menguatkan keluhan Bahri yang dipetik sebagai berkata “amat berdosa kepada seluruh 30 juta rakyat Malaysia kerana kes SRC tidak boleh dibawa ke mahkamah.”

“Tindakan SPRM ini mengundang pelbagai soalan di minda rakyat.

“Antaranya, siapa yang menghalang kes SRC dan siapa pula memberikan lampu hijau kepada penahanan KSU, jikalau dakwaan Bahri itu benar?

“Apakah SPRM benar-benar bebas dalam melaksanakan tugasnya?,” soal beliau yang terus mempertikaikan kewibawaan SPRM.

Katanya, penyataan ‘Undang-undang sarang labah-labah’ dan perasaan kecewa yang diluahkan Bahri sempena persaraan awalnya tidak dapat ditutup dengan penahanan Ketua Setiausaha sebuah kementerian atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Malah, kata beliau, sebenarnya penahanan KSU berkenaan menimbulkan tanda-tanya mengapa SPRM dapat bertindak kepada penjawat awam dengan mudah tapi tiada tindakan yang serupa ke atas kes besar seperti SRC International yang juga merupakan anak syarikat 1MDB, yang melibatkan nama-nama ahli politik berjawatan tinggi.

Katanya, kecekapan SPRM dalam memerangi rasuah perlu diimbangi dengan keadilan dalam tindakan.

“Segala tindakan perlu adil dan kelihatan adil, tanpa sebarang pilih kasih.

“Jangan sampai penjawat awam merasakan mereka dijadikan kambing untuk orang politik berkuasa kelihatan alim.

“Oh ya, apa khabar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah?” soal beliau menyindir apakah tindakan SPRM kepada menteri berkenaan.

COMMENTS

Wordpress (0)