Tangkap Mazlan tindakan terdesak BN untuk takutkan peneroka, kata Presiden AMANAH

Mohamad Sabu ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda AMANAH Dun Permatang Pasir, Permatang Pauh.

Kubu Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin goyang dan goncang menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan drastik bagi menakut-nakutkan rakyat.

Selain itu keadaan mereka yang terhoyong-hayang kerana menyedari kekalahan yang semakin hampir, menjadikan mereka tidak keruan lagi.

Akhirnya Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman terpaksa ditangkap dan dikurung baru-baru ini.

Demikian dinyatakan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya Pemuda AMANAH Permatang Pasir di Permatang Pauh semalam.

Menurut beliau lagi, tindakan yang diambil terhadap Mazlan sebagai satu cara terdesak Umno-BN untuk menakutkan para peneroka.

“Semakin dekat dengan pilihan raya maka semakin banyaklah tangkapan yang akan mereka rencanakan.

“Selepas Mazlan adalah lagi mereka yang akan menjadi mangsa kepada keadaan terdesak Umno-BN bagi menakutkan rakyat khususnya mereka yang sering mengkritik kerajaan.

“Jika hendak disabitkan dengan kritikan terhadap isteri Perdana Menteri (PM), setiap hari terlalu banyak kritikan yang dilemparkan oleh saya dan juga pimpinan Pakatan Harapan (PH) serta rakyat yang enggan bersubahat dengan kemungkaran,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu katanya, bagi memastikan kerajaan yang akan datang bukan lagi dikuasai oleh Umno-BN, paling kurang sebanyak 112 kerusi Parlimen mesti dimenangi oleh PH.

Banner majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda AMANAH Dun Permatang Pasir, Permatang Pauh.

“Pulau Pinang hanya perlu rampas tiga lagi kerusi Parlimen iaitu Kepala Batas, Balik Pulau dan Tasek Gelugor di samping mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen sedia ada.

“Selangor pula memerlukan empat lagi kerusi Parlimen bagi memastikan apa yang dihasratkan menjadi realiti disebalik kerusi sedia ada ketika ini.

“Manakala Johor pula PH sedang bekerja kuat bagi menambah kerusi Parlimen untuk merealisasikan apa yang diimpikan menjadi kenyataan dalam PRU14 yang begitu hampir,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu jelasnya, sekiranya simbol PH tidak diluluskan, ia tidak menjadi masalah besar kerana simbol mana-mana parti komponen akan digunakan dalam PRU14 nanti.

“Seandainya mereka tidak luluskan simbol PH, parti mana yang menjadi simbol tidak lagi menjadi satu pertikaian maupun masalah.

“Kita akan gunakana mana-mana simbol yang telah disepakati bagi memastikan agenda perubahan yang kita citakan menjadi realiti.

“Yang pasti Umno-BN tidak lagi harus dibiarkan menjadi pemerintah untuk tempoh lima tahun lagi,” tambahnya.

5.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 8.5
CATEGORIES