Tangkap Pokemon atau MO1: Mana lebih penting kepada negara?

Tangkap Pokemon atau MO1: Mana lebih penting kepada negara?

Kempen Tangkap Malaysian Official 1 atau #TangkapMO1 menjadi fokus gerakan mahasiswa ketika ‘demam’ menangkap karektor maya, Pokemon sedang melanda anak muda sebaik dilancarkan, 6 Ogos lalu.

Luqman Nul Haqim Zul RazaliBagi aktivis mahasiswa, Luqman Nul Haqim  Zul Razali, golongan muda juga perlu teruja untuk menangkap dalang kepada penyelewengan mega dana dalam firma pelaburan negara sarat skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tangkap Pokemon tidak selesai masalah negara sebaliknya Tangkap MO1 penting kerana melibatkan kepentingan negara dan generasi pada masa depan.

“Kita tidak mahu anak muda hari ini menempah bala besar pada masa akan datang akibat gagal bersikap tegas hari ini untuk menuntut tindakan ke atas individu yang dinamakan DoJ (Jabatan Kehakiman) Amerika itu,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini.

Anis Syafiqah Md YusofTerdahulu, dalam sidang media di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu pagi tadi, jurucakap Gabungan #TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof berkata, himpunan aman pada 27 Ogos ini akan menyaksikan perarakan rakyat dari kompleks Sogo dan Masjid Negara menuju ke Dataran Merdeka.

Menurutnya, siri jelajah menerangkan isu kritikal bahana 1MDB akan dilakukan dengan ceramah terdekat di Johor dan Kelantan pada 13 Ogos diikuti Perak pada 20 Ogos ini.

Penuntut Universiti Malaya (UM) itu juga memberitahu pasukan perubatan, Amal Relief Malaysia (ARiF) dan Squad Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan bertugas sepanjang demonstrasi aman mulai pukul 2 petang itu.

“Walaupun pelajar di universiti awam (UA) masih bercuti panjang, tapi kita mendapat sokongan penuh daripada rakan-rakan kita dari universiti swasta untuk turun ke jalan raya nanti,” jelasnya.

Selain itu, tambahnya lagi, mahasiswa di Sabah turut akan menganjurkan demonstrasi sama di Kota Kinabalu.

Untuk rekod, dokumen saman sivil yang diumumkan Peguam Negara AS, Loretta E Lynch pada 20 Julai lalu mendakwa sebanyak AS$731 juta disalurkan dari 1MDB ke dalam akaun bank milik ‘Malaysian Official 1’ (Pegawai Malaysia 1).

Tanpa menyatakan nama sebenar individu yang terbabit dengan dana diubah secara haram melalui AS itu, ‘Malaysian Official 1’ hanya disebut sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang turut memegang jawatan berkuasa dalam 1MDB.

Selain itu, saman berkenaan salah guna dana syarikat milik Kementerian Kewangan itu juga menyenaraikan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz serta ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang sebelum ini kerap dilihat berada bersama-sama Najib dan Rosmah.