Malaysia Dateline

Tangkapan LTTE: Tidak patut guna Sosma, kata Majlis Peguam

Pihak polis diminta untuk mempercepatkan siasatan berhubung kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mengikut undang-undang dan membawa mereka ke muka pengadilan berdasarkan bukti yang di peroleh pihak polis.

Presidennya Majlis Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor, berkata ini kerana pihak polis memiliki bukti keterlibatan individu tertentu dalam kegiatan LTTE yang kini sedang diawasi polis setelah ditangkap baru-baru ini.

Namun menurutnya, pihak polis dinasihat untuk tidak menahan si pelaku melebihi tempoh 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

“Perlu diingatkan bahawa peruntukan undang-undang Sosma telah disalahguna pada masa lalu dalam kes Datuk Seri Khairudin Abu Hassan, Matthias Chang dan Maria Chin Abdullah.

“Dalam kes Maria Chin, dia dibebaskan selepas penahanan yang panjang tanpa apa-apa pertuduhan terhadapnya.

“Sedangkan, dalam hal Datuk Seri Khairudin Abu Hassan dan Matthias Chang walaupun dituduh, pihak pendakwaan kemudian menarik balik tuduhan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Majlis Peguam bimbang dengan penangkapan mana-mana individu tanpa alasan dan secara konsisten menyeru agar Sosma dan semua undang-undang zalim dimansuhkan.