#TangkapMO1: 3 mahasiswa ditahan di UiTM Sri Iskandar

#TangkapMO1: 3 mahasiswa ditahan di UiTM Sri Iskandar

Seramai tiga mahasiswa ditahan polis sewaktu mengadakan sesi penerangan mengenai Malaysian Official 1 dan flashmob #TangkapMO1 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak petang tadi.

Ketiga-tiga mereka, Luqmanul Hakim Zulrazali (Kesatuan Mahasiswa Malaysia); Luqman Hakim Fadzli (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya- PMIUM) dan Ashraf Nazrin (Pro-M Universiti Malaysia Sabah Kampus Labuan) dibawa ke ibu pejabat polis (IPD) Sri Iskandar malam ini.

Menurut Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional Khairol Najib Hashim yang turut berada di tempat kejadian, ketiga-tiganya dibawa ke pondok polis bantuan UiTM dan tidak dibenarkan bertemu sesiapa sebelum dibawa ke IPD.

“Tadi saya hubungi IPD Sri Iskandar, mereka maklumkan mahasiswa itu masih di pondok polis bantuan UiTM, tiada di balai.

“Dan baru sebentar tadi mereka dibawa ke IPD,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Kira-kira 30 mahasiwa berkumpul di hadapan pintu masuk UiTM Sri Iskandar petang tadi dan mengadakan flashmob mengenai isu tersebut.

Ia merupakan siri penerangan sebelum himpunan #TangkapMO1 anjuran Gabungan #TangkapMO1 diadakan di Dataran Merdeka pada 27 Ogos ini.

Perhimpunan itu akan diadakan pada dua kawasan iaitu di Pusat membeli belah Sogo dan Masjid Negara.

Peserta merancang untuk berarak dari dua tempat itu ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang.

Ia bertujuan untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa menangkap “Malaysia Official One” yang dinamakan Jabatan Kehakiman (DoJ)Amerika Syarikat dalam tuntutan saman sivil berhubung dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan, kebanyakannya belia, telah menunjukkan sokongan mereka terhadap perhimpunan itu dengan PKR, DAP dan Pemuda Amanah Pemuda berikrar untuk turut serta, yang dianjurkan oleh beberapa pertubuhan belia dan disokong Bersih 2.0.

COMMENTS

Wordpress (0)