Tangkis khabar angin adik perempuan pemimpin Korea Utara muncul di khalayak umum

Tangkis  khabar angin adik perempuan pemimpin Korea Utara muncul di khalayak umum

Adik perempuan kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, muncul di khalayak umum buat kali pertama dalam tempoh 52 hari, selepas khabar angin mengatakan beliau menjalani hukuman berikutan kegagalan sidang kemuncak kedua dengan Presiden Donald Trump, lapor agensi berita Yonhap.

Kim Yo-jong bersama Kim dilihat menghadiri satu acara diadakan di Stadium May Day di Pyongyang pada Isnin, menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Kali terakhir beliau muncul di khalayak umum adalah semasa Perhimpunan Rakyat pada bulan April lalu.

Laporan itu keluar selepas khabar angin mengenai Korea Utara bertindak mengenakan hukuman kepada para pegawai yang bertanggungjawab dan terlibat dengan sidang kemuncak berkenaan.

Khabar angin timbul apabila beliau tidak turut serta bersama rombongan Kim ke Vladivostok untuk menghadiri sidang kemuncak dengan Presiden Rusia Vladimir Putin April lalu.

Beliau dikatakan sangat rapat dengan Kim dan sentiasa bersama-sama dengan pemimpin itu ketika menjalani urusan rasmi ke luar negara.

Terdapat juga spekulasi mengatakan ketidakhadiran beliau disebabkan masalah kesihatan.

Isnin lalu, media Korea Utara melaporkan seorang daripada pegawai tertinggi yang terbabit dengan sidang kemuncak itu, Kim Yong-chol dihantar ke sebuah kawasan terpencil untuk jalani hukuman.

Sidang kemuncak Hanoi berakhir tanpa perjanjian kerana Kim dan Trump gagal mencari kesepakatan mengenai isu senjata nuklear.– BERNAMA