Tanglung dan Tulisan Jawi: Menteri PH tunduk kepada realiti dicorak pembangkang?

Beberapa hari lalu, saya baca akhbar Financial Daily bertarikh 7 Januari 2020 mengenai ketidakpuasan kalangan rakyat berhubung dengan prestasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hinggakan tohmahan parti pembangkang dengan beberapa isu kebelakangan ini dan memperlekehkan pretasi kerajaan PH sebagai kerajaan sepenggal.

Saya tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam laporan Bernama tersebut bahawa ketidakpuasan hati dalam kalangan orang ramai terhadap kerajaan berlaku kerana kerajaan tidak terlalu bagus dalam menceritakan apa yang telah dilakukannya,

Kata Dr Mahathir , “selain kemajuan dalam bidang ekonomi, pencapaian juga harus dinilai atas kestabilan, keamanan negara dan komitmen untuk mematuhi undang-undang.
“Jika anda mempunyai sebuah negara stabil seperti ini, aman dan mematuhi undang-undang, itu adalah pencapaian yang hebat.

Soalnya sejauh manakah menteri-menteri PH ini pandai dan mahir bercerita mengenai kejayaan yang telah dicapai. Inilah persoalannya? Marilah kita perhatikan isu tanglung dan tulisan jawi misalnya.

Di tengah-tengah ketegangan isu tulisan Jawi yang belum tamat lagi dengan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah menyerahkan memorandum penolakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular kepada Kementerian Pendidikan, tujuh menteri kabinet  termasuk Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail, turun padang bagi menyatakan sokongan kepada usaha memupuk perpaduan sekolah yang mempunyai murid pelbagai kaum itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof dan Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah.

Selain itu yang hadir juga adalah Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching,, Exco Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Dr Mahanom Mat Sam.

Sekolah itu menjadi buah mulut netizen selepas mendapat bantahan kerana memasang perhiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Ini menjadikan SMK Pusat Bandar Puchong 1, satu-satunya sekolah di Malaysia dihadiri tujuh menteri kabinet termasuk timbalan perdana menteri melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 di Puchong.

Menurut Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Wan Azizah, pemasangan Tanglung di sekolah bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bukan isu perkauman. Sebaliknya sesuatu perayaan itu perlu dijadikan faktor untuk merapatkan hubungan antara kaum.

Demikian jelas yang hadir untuk memasang semula Tanglung di SMK Pusat Bandar Puchong 1.

Dalam pada itu laporan Malaysiakini menunjukkan Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mencetuskan kontroversi hiasan tahun baru Cina di sebuah sekolah di Puchong telah “mengisyhtiharkan kemenangan”.

“Saya sudah menang sebab saya satu surat, tujuh menteri turun…

Beliau yang juga naib presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan pemimpin lantang Ibrahim Ali.sebelum ini menulis surat bantahan kepada pengetua SMK Pusat Bandar Puchong 1.

Inilah yang saya maksudkan hasil realiti corakkan pembangkang dan menteri-menteri PH menjadi panik dan menyerbu sekolah berkenaan sebagai tanda sokongan dan perpaduan.

Kontroversi ini ditambah pula dengan Facebook  Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bahawa  ‘Kaligrafi Cina Pupuk Perpaduan’ mengundang kemarahan netizen.

Liputan berita berkenaan adalah berkaitan Bengkel Seni Kaligrafi Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Perwakilan Rakyat Zon Lembah Pantai dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai yang turut dihadiri Ahli Parlimen kawasan itu dari PKR itu. Fahmi Fadzil.

Fahmi Fadzil turut memuatnaik video berkenaan di Facebook rasmi beliau dan dihujani dengan pelbagai kecaman netizen yang berang dengan program yang dijalankannya.

Laporan itu turut menyakinkan masyarakat pelbagai kaum bahawa mempelajari kaligrafi Cina dianggap memupuk semangat perpaduan, kontra dengan polemik masa kini terhadap tulisan khat-Jawi yang didakwa oleh setengah setengah pihak mampu memupuk semangat perpecahan.

Apa kata Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam isu ini. Beliau berkata agaknya YB Fahmi sudah hilang kewarasan kerana ketika polemik tulisan Khat-Jawi dibantah oleh Dong Jiao Zong yang membuat sidang media menghina Jawi secara terbuka, YB Fahmi seakan mempamerkan sikap tidak sensitif dengan mempromosikan program sebegini.

“Ironinya, YB Fahmi mengambil sikap berdiam diri di kala tulisan Khat-Jawi dicemuh dan tulisan Jawi dituduh sebagai bahan agenda Islamisasi, sebaliknya YB Fahmi bersungguh-sungguh memperkenalkan kaligrafi Cina sebagai alat perpaduan.

Seolah-olah menteri dan ahli politik PH membiakan sahaja mereka dikecam dan yakin bahawa pengundi Melayu akan menyebelahi mereka.

Bayangkan strategi pembangkang telah berjaya, lain kali jika ada sebarang program yang dilancarkan bukan Melayu dan boleh mencetuskan isu sensitif atau kontroversi maka pembangkang akan menggunakan taktik sedemikian dan menteri-menteri PH akan panik cuba mententeramkan keadaan dengan menghadirkan diri ke program sebagai menandakan sokongan atau membuat kenyataan ala kadar sahaja, tetapi pandangan kalangan orang Melayu akan terus kritikal dengan Kerajaan PH dan menteri Melayu yang dikatakan tidak serius dan prihatin terhadap isu Melayu dan Islam.

Sejauhmanakah isu tulisan jawi yang diselesaikan? Ia masih tergantung kepada perancangan Dr Mahathir sebagai Menteri Pendidikan sementara.

Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau akan melepaskan segera jawatan Menteri Pendidikan yang dipangkunya sebaik sahaja mendapat pengganti yang sesuai.

Apakah perancangan jentera mesin kerajaan dalam menyelesaikan isu tulisan Jawi dalam kurikulum. Saya tidak tahulah jika sudah ada perancangan tetapi dengan menunggu menteri baharu naik, isu ini tentu telah dimain dan dimanipulasi oleh pembangkang di media sosial dan akhirnya ramai kalangan orang Melayu akan terpengaruh.

Pembandingan ukuran masa antara media arus perdana tradisional – media cetak dan elektorik – dengan media arus perdana semasa – Internet, blog dan media sosial umpamanya – jauh berbeza jika diukur mengikut proses pemberitaan, kesahihan sumber dan jangka masa berita disiarkan tetapi meda arus perdana kedua ini (media sosial) penyebaran berita sepantas kilat dengan tidak mengambil kira proses pemberitaan atau sumbernya.

Isunya dalam penyebaran isu di media sosial oleh pembangkang bukanlah penukaran tanggapan atau persepsi tetapi perubahan yang mereka corakkan dan bentuk sehingga realiti isu itu menjadi suatu pasca realiti, maksudnya di sini realiti buatan yang diyakini benar padahal ia adalah realiti buatan dalam Internet.

Kerajaan PH harus memegang tali kendali atau memimpin, bukannya tunduk kepada mainan, manipulasi, kegemparan dan acah-acah pembangkang sebagaimana berlaku dalam isu tanglung ini yang kelihatan ketara kepanikan menteri-menteri PH.

Adalah suatu ironi atau kepelikan sekarang, pembangkang semasa kerajaan BN yang memperjuangkan kebebasan media tetapi setelah menang dalam pilihan raya, kebebasan itu dinikmati oleh pembangkang baharu – Umno dan Pas –  dan kerajaan PH semacam tidak bebas untuk memainkan peranan menyebar dan menyiarkan kejayaan mereka setelah memegang kerajaan sekarang.

Rasanya isu tulisan Jawi bukanlah isu perkauman malah lebih penting kerana ia adalah isu arus perdana yang diputuskan kabinet, kenapa sekarang tidak bersetuju?

Malah kabinet mengekalkan keputusan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan mulai 2020 diteruskan, namun ia perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa. (Berita Harian 14 Ogos 2019)

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata Kabinet membuat keputusan itu selepas membincangkan isu itu sekali lagi.

“Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengekalkan keputusan Jemaah Menteri pada minggu lalu supaya pengenalan tulisan Jawi ini diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan. Sekolah Kebangsaan akan teruskan seperti biasa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, tiada tindakan akan dikenakan kepada mana-mana SJKC dan SJKT yang enggan melaksanakan pembelajaran khat.

Jika isunya tiada paksaan kenapakah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh, tidak memaikan perananya di sini. Sepatutnya Gobind bersama-sama menteri PH mestilah memberikan penerangan dan tindakan apa yang harus diambil supaya ia tidak mencetus kontroversi yang lebih parah antara Melayu dan bukan Melayu.

Ini seolah-olah menteri-menteri PH yang mengikut rentak pembangkang, mereka mencorak isu tanglung sebagai isu bersama dengan bukan Melayu dan isu tulisan Jawi sebagai tidak bersama dengan orang Melayu dan tidak mempertahankan memperjuangkannya.

Media soial pembangkang telah mencorak realiti yang berbeza dalam isu tulisan Jawi. Ia berbau ketengangan dan konflik. Wujud keengganan antara kaum Cina dan India untuk menerima pembelajaran tulisan jawi dalam kurikulum walaupun dalam tiga muka surat. Tiada sokongan menteri PH untuk memaparkannya sebagai suatu toleransi atau perpaduan.  Inilah kelemahan Kerajaan PH yang dimaksud Dr Mahathir sebagai tidak terlalu bagus dalam bercerita.

Saya teringat kepada kata-kata Datuk  A Kadir Jasin dalam blognya `The Scribe’ pada Mach 23 2019 di bawah tajuk `Banyak Kejayaan Kerajaan PH Tetapi Tidak diceritakan’. Dalam blog tersebut  beliau mengatakan bukan semua mengenai kerajaan baharu PH tidak baik. Memang ada yang tidak baik atau kurang baik tetapi lebih banyak yang baik. Cuma banyak yang baik itu tidak diketahui orang ramai.

Apa yang paling menarik bloknya ialah apabila beliau mengatakan “berkomunikasilah dengan lebih baik dan berkesan dengan semua peringkat dan golongan masyarakat. Pegawai Khas, Setiausaha Akhbar dan Pengawai Komunikasi Korporat pun tolonglah cergas skit. Kalau bodoh belajar, Kalau tidak tahu tanya.”

Ini kata-katanya walaupun agak keras tetapi hakikatnya menteri PH dan segala jentera kerajaannya harus digembeleng ke arah memainkan peranan propaganda positif (takut nak sebut perkataan ini kerana nadanya kerap kali negatif).

 

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel) dan Felo Institut Masa